29 Januari 2009

Rindu kedamaian

Rindu Kedamaian

Harapan kesamaran
Bila warna damai kian pudar
Bertebaran kata dusta
Menghunjamkan nestapa

Tangisan kesayuan
Insan meratapi kehilangan
Merintih mengharap ihsan
Merindu kedamaian

Ke mana hilang kasih dan sayang
Meluntur rasa kemanusiaan
Bila kan pergi penderitaan
Tak ketemu jawapan

Dan kezaliman terus rakus menggila meratah nyawa
Dan kesengsaraan membarah meruntun duka

Munajat pengharapan
Mendamba cahaya keamanan
Menyinari kehidupan
Lestari rahmat Tuhan

Lirik ini menggambarkan pengharapan saudara-saudara kita di bumi Palestin. InsyaAllah lagu ini akan dirakamkan oleh sebuah kumpulan nasyid. Nantikannya..

28 Januari 2009

Malam minggu di Laman Santai Istana Budaya

Malam minggu 24 Januari yang lalu, Devotees diundang untuk membuat persembahan di Laman Santai Istana Budaya. Laman Santai merupakan persembahan yang diadakan setiap malam Sabtu di perkarangan Istana Budaya. Suasananya memang santai, orang ramai yang hadir boleh duduk bersama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati makanan yang boleh dibeli di gerai-gerai yang disediakan. Ada nasi lemak, roti nan, jus buah, roti canai, kuih-muih dan macam-macam lagi. Sambil menjamu selera orang ramai boleh menonton persembahan artis-artis yang diundang.

santai di laman santai


my dinner at laman santai


Malam itu Devotees hanya bertiga; saya, halim dan adi sahaja. Shauqi tak dapat hadir kerana ada urusan di kampung. Devotees mempersembahkan lagu Harapan bersama Bro. Salleh sempena mengingati keadaan di Palestin. Lagu kedua yang disampaikan ialah Lament. Saja nak merancakkan suasana malam. Walaupun ada ketikanya hujan turun seketika, namun penonton masih tidak berganjak untuk menonton persembahan. Amar bertindak sebagai pengacara dan magician pada malam itu. Best jugak tengok persembahan silap mata Amar. Artis-artis lain yang membuat persembahan malam itu ialah otai nasyid tanahair Raihan, rapper nasyid Akbar, gadis pantene Fida, dan pelakon Sutramaya Erry Putra, eh tak lupa Zizan si Raja Lawak. Malam itu juga diserikan dengan persembahan live music oleh kumpulan Istamuzika dari Istana Budaya.


bersama bro. salleh menyampaikan lagu 'Harapan'

Habis je persembahan malam tu, saya terus memecut kereta menuju ke rumah di Temerloh Pahang. Sampai kat rumah pukul 1.30 pagi. Pastu, apa lagi pengsan atas katil hehe.

persembahan raihan

bersama fida

Where to get cool layout?

I'm still looking for the best layout for my blog. Anyone who knows where can I get a cool layout, please let me know ok. Thanks!

20 Januari 2009

Bingkisan kenangan di bumi Kemboja II

Hari ni baru berkesempatan untuk menyambung cerita di Kemboja. Almaklumlah, kerja banyak sikit. Ok kita sambung cerita ye.

11 Disember 2008

Pagi yang cerah. Bangun dari tidur ingat nak pegi join orang senam poco-poco kat dataran. Tapi semua macam nak tak nak je. So tak jadi la nak pegi. Masing-masing pun malas nak bangun dari katil. Sedap kot tidur kat Kemboja ni. Hehe. Lepas mandi dan bersiap-siap, kami terus menaiki coaster ke sebuah perkampungan Islam di seberang sungai Tonle Sap. Perjalanan mengambil masa kira-kira setengah jam dari bandar Phnom Penh. Sepanjang perjalanan, kami dapat saksikan pemandangan yang menghijau dan pelbagai bentuk bangunan kuil buddha yang unik (kuil buddha adalah trademark kemboja). Juga dapat disaksikan orang-orang kampung keluar mencari rezeki dan suasana rakyat Kemboja menjalani kehidupan seharian. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di sebuah gerai tepi jalan yang menjual sejenis buah (tak ingat la buah ape..is it delima?). Yang penting buah tu first time makan dan first time jumpa. Ustaz Azhar beli satu plastik untuk kami makan dalam bas. Sedap jugak buah tu, lagi-lagi makan dengan garam yang makcik jual buah tu bagi. Sampai di kampung yang dimaksudkan, kami disambut dengan lembu-lembu yang berkeliaran. Banyak jugak lembu kat situ.

Kereta kuda padi. nak naik?

Di kampung itu, Ez Qurban menjalankan korban-korban yang terakhir memandangkan hari ini ialah hari terakhir tasyrik yang membolehkan ibadah korban dilaksanakan. Sempatlah kami menyaksikan lembu disembelih. Kami juga berkesempatan mengambil gambar dengan lembu tersebut sebelum ia disembelih (hehe) dan juga bergambar dengan kereta kuda padi yang comel. Selesai korban dilaksanakan, kami bersiar-siar di sekitar kampung dan berpeluang berjumpa dengan orang-orang kampung. Kehidupan mereka agak daif namun mereka hidup dalam suasana yang tenang dan damai.

Bersama penduduk kampung

Selesai urusan di sana, kami menghala ke sebuah lagi kampung yang terletak betul-betul di tebing sungai Tonle Sap menghala bandar Phnom Penh. Kami ke situ untuk singgah ke rumah seorang pemandu pelancong, Saleh dan ziarah ke rumah orang kahwin. Sepatutnya kami makan kat kenduri kahwin, tapi sampai saja di sana, semuanya sudah selesai. Kempunanlah kami nak merasa juadah kenduri kahwin Kemboja. Majlis kahwin di sana selesai agak awal dan belum pun sampai tengahari. Everything is done. Tapi, kempunan kami diubati dengan hidangan tengahari istimewa di rumah Saleh. Semuanya makan dengan begitu berselera sekali. Maklumlah perut sudah berkeroncong.

Sungai Tonle Sap, sumber rezeki rakyat marhaen Kemboja

Habis makan, kami kembali ke Phnom Penh untuk check in di hotel baru. Kami menginap di Hotel Asia yang terletak satu bangunan dengan KFC. KFC di situ adalah pertama di Kemboja dan ia merupakan milik KFC malaysia yang halal dan pekerja-pekerjanya ramai yang Islam. Selepas check in, kami mengambil kesempatan untuk berehat di bilik masing-masing kerana malamnya kami akan membuat persembahan di sebuah masjid di wilayah Kandal. Saya sempat melelapkan mata berseorangan di bilik selepas solat jama'.

Petang selepas asar, kami berkumpul di KFC di tingkat bawah hotel untuk mengisi perut. Saya mengambil snack plate yang ada 2 ketul ayam. Hmm ayam kat KFC tu besar-besar sampai puas jugak nak menghabiskannya. Usai memenuhkan perut dengan ayam goreng, kami terus berangkat ke masjid Chroy Chong Hwa, lokasi persembahan malam ini. Di sana, persiapan untuk persembahan giat dijalankan. Banner pun sudah siap dipasang. Kami sampai di sana ketika waktu maghrib sudah hampir tiba. Selepas solat maghrib dan jama' berjemaah, kami terus ke rumah seorang penduduk kampung untuk menukar pakaian. Malam ini kami memilih kostum silver dan seluar hitam. Tidak sabar rasanya untuk membuat persembahan lantaran ramai yang kelihatan teruja menanti persembahan kami.

Selepas solat isyak, semakin ramai penduduk kampung yang datang ke perkarangan masjid. Seperti malam sebelumnya, Rozali bertindak sebagai pengacara, penterjemah dan pentazkirah pada malam itu. Kami mulakan persembahan dengan selawat ke atas junjungan nabi s.a.w. dan seterusnya diikuti dengan lagu tolaal badru alaina. seperti di Chrang Chamreh, penonton di sini juga enjoy dan terpaku melihat persembahan kami. Sambutan kanak-kanak yang memenuhi ruang hadapan sekali amat mengujakan. Mereka seolah-olah melihat Michael Jackson yang membuat persembahan (alamak terlebih sudah hehe). Kami cukup seronok dengan sambutan yang diberikan dan setiap lagu dipersembahkan dengan begitu santai dan enjoy. Pelbagai gelagat penonton dapat dilihat. Ada juga kenderaan-kenderaan yang berhenti di tepi jalan kerana ingin melihat persembahan kami. Lagu-lagu yang dibawa termasuk neo salawat, luahan rindu, hijrah menuju Allah, Lament dan lain-lain. Ketika persembahan hampir tamat, kami diberitahu oleh Rozali ada penonton yang inginkan lagu Lament dinyanyikan sekali lagi. Tak sangka lagu itu dapat menarik minat mereka. Kami pun dengan berbesar hati menyanyikan sekali lagi lagu tersebut istimewa untuk mereka.

Persembahan di Masjid Chray Chong Hwa

Bersama krew Ez Qurban selepas persembahan

Persembahan berakhir dengan rasa gembira dan puas. Tak tergambar dengan kata-kata. Penonton gembira, krew Ez Qurban gembira, kami juga gembira. Kami mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai tanda kenang-kenangan sebelum ke rumah seorang penduduk kampung untuk makan malam. Santapan kami malam itu cukup menarik, ikan yang garang dimasak dengan sayur dan ditabur dengan kacang bersama kuah ikan untuk dicicah. Sesuatu yang baru dan menarik untuk dicuba. Hmm sedap rasanya. Menyelerakan. Habis makan, kami terus kembali ke hotel penginapan untuk berehat di atas katil yang empuk.

Ikan garang. Berani nak cuba?

12 Disember 2008

Hari ini saya terpaksa kembali ke Kuala Lumpur kerana ada urusan kerjaya pada keesokan harinya. Rakan-rakan devotees masih stay di sini untuk 3 hari lagi. Walaupun hanya sempat berada di bumi Kemboja selama lebih kurang 48 jam, namun kenangan manis tetap terpahat di hati. Hari terakhir saya sempat ke sebuah pasar untuk membeli buah tangan untuk rakan-rakan dan keluarga. Pukul 3 petang saya sudah ke airport bersama beberapa orang lagi krew Ez Qurban yang turut kembali ke tanah air. Penerbangan berlepas meninggalkan daratan Phnom Penh dengan rasa yang bercampur, sedih dan gembira. Sedih kerana tidak tahu bila lagi dapat kembali ke sini, gembira kerana pengalaman di sini memahatkan nostalgia yang cukup manis. Terima kasih Allah kerana memberi peluang untuk melihat alam ciptaanmu di bumi Kemboja. Terima kasih saudara-saudaraku di Kemboja kerana sudi menerima kehadiran kami dengan baik sekali. Terima kasih EZ Qurban kerana undangan dan tajaan yang diberikan. InsyaAllah saya akan kembali lagi ke sini suatu hari nanti.

Pemandangan indah dalam penerbangan kembali ke tanah air
SubhanAllah!

12 Januari 2009

Bingkisan kenangan di bumi Kemboja I

Sedar tak sedar sudah sebulan rupanya berlalu pengalaman saya menjejakkan kaki di Kemboja. Baru sekarang tangan ini mahu mencoretkan bingkisan sepanjang berada di sana. Saya ke sana bersama sahabat-sahabat Devotees atas undangan daripada Ez Qurban untuk membuat persembahan sempena Aidiladha untuk masyarakat Islam Kemboja. Ini adalah pengalaman kedua saya ke sana selepas menyertai Baktisiswa Masyarakat Islam Kemboja ISIUKM Mei lalu. Berikut sedikit catatan pengalaman saya untuk dikongsikan sepanjang berada di sana (walaupun mungkin dah expired hehe).

10 Disember 2008
Sepatutnya rombongan berlepas ke Kemboja 9 Disember. Tapi oleh kerana saya ada urusan kerjaya di Putrajaya, terpaksalah postponed sehari. So hari ni barulah dapat berlepas ke sana seorang diri (huhu kesiannye..). Lepas habis urusan kira-kira pukul 11 pagi, saya terus memandu Kenari silver saya ke LCCT Sepang. Lepas fikir panjang, saya nekad nak park je kereta kat LCCT. Sampai di sana, pusing-pusing sekitar LCCT mencari parking yang sesuai dan selamat (dan free, tu yang penting hehe). Akhirnya dapat juga parking dekat dengan ofis Kastam. So, kira selamat la tu. Alhamdulillah. Lepas tu, saya singgah sebentar di food court untuk mengisi perut yang kelaparan dan solat sebelum ke terminal untuk check in. Sampai di kaunter check in, ketika sedang berbaris menunggu giliran, seorang wanita menegur saya dengan bahasa khmer (bahasa kemboja), saya buat-buat tak tahu je sebab tak faham apa yang dia cakap (ada rupa orang kemboja ke saya ni huhu). Akhirnya kerana melihat tiada respon, barulah wanita itu bercakap bahasa melayu. Barulah faham. Rupa-rupanya dia meminta tolong untuk menumpangkan begnya untuk dimasukkan ke kargo kerana sudah terlebih kilogram. Saya pun dengan baik hatinya menolong wanita itu (anak sapa tu..hehe).

Lepas check in, saya terus masuk ke departure hall walaupun penerbangan hanya akan berlepas beberapa jam lagi. Duduklah saya keseorangan sambil melihat gelagat dan ragam pelbagai jenis manusia di situ. Setelah duduk kebosanan dengan penantian yang menggeramkan (geram sebab aircraft lambat sampai), akhirnya time to fly is coming kira-kira jam 3.40 petang. Masuk je dalam fuselage Airbus 320 itu, saya terus mengambil tempat di tepi tingkap belakang sayap kapal terbang. That's my favorite spot sebab boleh ambik gambar daratan yang cantik ber'prop'kan sayap kapal terbang. Penerbangan mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit. Sebelah tempat duduk saya kosong, so boleh lah control dua tempat duduk. Saya mengambil kesempatan melelapkan mata setelah keletihan ke sana sini sejak pagi.

Daratan Kemboja dari 'pandangan burung'

Kira-kira jam 4.50 saya terjaga. Kapal terbang sudah pun berada di atas daratan bumi kemboja. Saya mengambil beberapa gambar daratan bumi kemboja yang luas dan rata. Akhirnya kira-kira 5.05 petang, kapal terbang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh. Alhamdulillah. Saya disambut oleh rombongan Ez Qurban sebaik keluar dari terminal. Segala keletihan hilang rasanya bila menjejakkan kaki di Kemboja buat kali yang kedua. Cambodia i'm coming back. Kami terus menaiki coaster menuju ke Masjid Nurun Naim Chrang Chamreh, kilometer 8 Phnom Penh, tempat berlangsungnya persembahan Devotees pada malamnya. Chrang Chamreh merupakan salah satu kawasan penempatan orang-orang Islam di Phnom Penh. Sampai di sana terus saja bertemu orang kuat Ez Qurban, Ustaz Azhar, sahabat Kemboja Rozali, agen Ez Qurban di Kemboja dan adiknya Suhaimi, dan sahabat-sahabat Devotees. Saya tertarik melihat banner Konsert Devotees yang juga ditulis dalam bahasa Khmer digantung di hadapan masjid. Rupanya mereka sedang membuat persiapan untuk persembahan malam ini. Saya difahamkan inilah pertama kali persembahan seumpamanya diadakan untuk masyarakat Islam di Kemboja. InsyaAllah, we will do our best!

Persembahan di Masjid Nurun Naim

Malam yang dinanti pun tiba. Setelah bersiap-siap dan makan di rumah keluarga Rozali (family yang paling best & sporting), kami bergerak ke Masjid Nurun Naim. Kami memilih kostum emas dan gangsa malam itu. Selepas solat isyak berjemaah, para jemaah dan penduduk mula berkumpul di perkarangan masjid menantikan persembahan bermula. Muqaddimah dimulakan oleh saudara Rozali yang memperkenalkan kami dalam bahasa khmer. Dialah pengacara, penterjemah dan pentazkirah pada malam itu. Persembahan bermula. Kami berasa gembira dan seronok kerana ramai yang hadir pada malam itu membanjiri perkarangan masjid. Memang tak disangka. Turut menonton persembahan ialah serombongan orang Malaysia yang turut mengadakan program korban di sana. Kami membawa lagu-lagu selawat secara acapella, tholaal badru, beberapa lagu Devotees dan lagu-lagu Raihan yang simple dan senang diikuti. Alhamdulillah semuanya enjoy dan gembira menonton persembahan kami walaupun kami membawa lagu melayu. Ramai juga yang mengambil gambar. Paling seronok bila kanak-kanak mengikuti nasyid-nasyid yang mudah seperti puji-pujian dan 25 rasul. Setiap lagu yang dipersembahkan akan diberitahu maksud dan intipatinya oleh saudara Rozali dalam bahasa Khmer. Kami berpuas hati dengan persembahan pada malam itu walaupun terdapat sedikit gangguan teknikal. Yang penting semuanya terhibur dan mendapat sesuatu dari apa yang kami persembahkan.

Sebahagian penonton yang hadir

Usai persembahan, kami bersiap-siap untuk ke hotel penginapan di bandar Phnom Penh. Sampai di sini dulu catatan saya. Hari dah lewat. Esok nak keje. To be continued... =)


09 Januari 2009

Bom! Bom! Bom! Kedebom!

Di Gaza banyak bom
Bom sana bom sini
Hari-hari dengar bunyi bom
Hari-hari ada letupan bom

Rumah kena bom
Sekolah kena bom
Kereta kena bom
Hospital kena bom
Orang pun kena bom!

Banyak mati kena bom
Banyak luka kena bom
Banyak duka kerana bom
Banyak kebulur angkara bom

Tengah makan takut dibom
Tika tidur takut dibom
Sedang jaga takut dibom
Tiap saat takut dibom

Yang bom itu sudah gila
Tiada lagi jiwa manusia
Bom jadi mainan suka
Untuk bagi Gaza derita

Di sini bom tak ada
Hanya roti bom yang ada
Syukur masih aman sentosa
Tolonglah doa pada mereka

Moga musnah dibom laskar rejim
Dengan bom para mujahidin
Juga 'bom' dari kuasa Al-Azim
Moga aman negeri Palestin

Amin Ya Rabbal Alamin....

03 Januari 2009

Catatan bbq yang manis!

Semalam baru berbbq dengan member2 seofis. Maklumlah semalam hari cuti untuk company saya. 1 Januari tak cuti, saja HR tukar cuti ke 2 Januari. Kira cuti lama sikit la, 3 hari. Dah tau nak cuti panjang, kawan-kawan pun merancang apa aktiviti yang hendak dibuat. Macam-macam cadangan yang keluar. Akhirnya semua sepakat nak buat bbq. Hmm best jugak. Kami pun berbincang apa keperluan yang perlu disediakan. Dan saya ditugaskan untuk sediakan perapan ayam. Oooh no problem. Fikiran saya terus teringat kepak panggang Sabah (orang Sabah panggil 'sayap'). Memang sedap. Kalau nak rasa datanglah ke Sabah. Resepi nak buat perapan ayam tu dah ingat-ingat lupa. Apalagi, senang je. Terus call mak tanya resepi. Memang time kat Sabah dulu kami sefamili selalu buat bbq tepi sungai Nalapak atau di Taman Kinabalu time
cuti-cuti sekolah. Teringat pula kenangan dulu-dulu huhu.

Lepas dapat resepi dari mak, terus saja ke Giant dengan kawan-kawan untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan. Resepinya senang saja. Bahan-bahan pun semuanya yang dah biasa kita guna. Bawang putih, gula, serbuk kunyit, cuka, kicap masin, madu dan garam. Kalau nak pedas2 sikit, boleh tambah serbuk lada hitam. Simple kan. Then perap ayam semalaman lebih kurang 7-8 jam, barulah rencah perapan sebati dengan ayam. Saya juga kena sediakan nasi goreng untuk makan dengan ayam bbq. Masak yang simple je, guna perencah nasi goreng adabi. Hehe. Penat jugak kerja kat dapur, maklumlah dah lama tak memasak. Orang bujang kan.

Ayam yang diperap ala Sabah

Kami decide nak buat bbq kat Tasik Ayer Keroh. Dekat je dengan rumah, lebih kurang 5 minit je. Sampai di situ, kami terus cari port yang baik punya. Lepas dah angkat barang-barang, kami mula membakar arang untuk dibuat bara pukul 8 malam. Nasib baik malam tu cuaca baik. Bintang pun banyak. Alhamdulillah. Risau jugak kalau tiba-tiba hujan turun. Lebih kurang setengah jam lepas tu, bara pun dah siap. So boleh la start membakar ayam. Berdebar-debar juga nak rasa ayam tu, jadi ke tidak perapan yang dibuat. Lepas semua ayam dan sedikit sosej siap dipanggang. Masanya untuk makan! Sebagai chef yang tak bertauliah malam itu, saya pun menanti kritikan2 dari member-member. Alhamdulillah, semuanya kata sedap! Maknanya menjadi la perapan tu. Kami pun makan dengan berseleranya, maklumlah dah penat mengipas ayam. Makan ayam bbq cicah dengan sos cili. Mmmmm sedapnye.. Cuma saya rasa macam ayam tu manis sangat. Terlebih gula kot. Tapi semua kata sedap, so memang sedap la hehe. Kami makan sampailah perut dah takde ruang lagi. Kenyang sampai tak larat nak bangun. Nabi suruh berhenti sebelum kenyang. Tapi ni terbalik pula, kenyang sebelum berhenti.

Ayam sedang dipanggang. Nak rasa?

Lepas habis makan, kami semua duduk berehat sambil berborak. Pencuci mulut malam tu buah tembikai. Mmm manis tembikainye. Sedang member-member lain tengah berborak rancak, saya ambik kesempatan untuk bermain buaian kanak-kanak. Hehe. Seronok la, teringat pulak zaman di Tabika Kemas dulu. Waktu rehat je, semuanya lari dengan pantas untuk mendapatkan buaian. Lepas tu berdiri atas buaian, then hayun buaian sekuat hati. Siapa hayun paling tinggi dia menang. Bahaya betul. Tapi budak-budak bukannya kisah pun. Yang penting seronok. Nasib baik la buaian tu kuat, kalau putus mesti dah terbang sampai puncak gunung Kinabalu. Haha..

Kira-kira jam 11 malam, lepas dah kemas semua barang dan bersihkan arang (walaupun ada kesan hitam arang kat atas simen sikit, minta maaf ye), kami pun balik ke rumah dengan perut yang kekenyangan. Teringat pulak orang-orang Palestin yang semakin hari semakin susut bekalan makanan mereka. Hinggakan makanan yang sedikit terpaksa berkongsi dengan saudara-mara dan jiran tetangga. Bekalan makanan dari luar disekat daripada dibawa masuk ke Gaza. Walaupun Amerika mengatakan semua bekalan 'cukup dan selesa', tapi cuma omongan jahat mereka yang ingin melihat umat Islam terus dibelasah rejim zionis gila. Bersyukurlah kita di bumi Malaysia yang masih disayangi Allah yang tidak putus-putus memberi rezeki kepada kita. Andai suatu masa, kita diuji sebegitu. Mampukah kita?
That's all for today. Till then. Salam.

02 Januari 2009

Rintihan Gaza, Ratapan jiwa mukmin



Saat ini bumi Palestin terus bermandi darah. Tika ramai manusia berpesta menyambut ketibaan tahun baru dengan percikan bunga api dan tawa ceria, warga Palestin menyambutnya dengan letupan bom roket di sini sana bersama ratapan dan tangisan. Laskar durjana Israel terus menggila merobek bumi Gaza tanpa sedikitpun belas ihsan. Bagi mereka nyawa itu tiada harga. Sehingga kini sekurang-kurangnya 400 nyawa telah terkorban dan kira-kira 2000 telah tercedera dalam serangan yang telah memasuki hari ketujuh. Di suatu penjuru Gaza di pagi yang hening, kerakusan Israel sudah tiada kenal perikemanusiaan. 5 orang kanak-kanak perempuan yang tinggal berhampiran masjid terbunuh dek bom roket zionis yang tiada bermata. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Semoga mereka ditempatkan bersama para syuhada'. Itu hanya satu kisah kekejaman rejim zionis di bumi anbiya' itu yang tidak diketahui bilakah tiba penghujungnya.

Kediaman dan bangunan musnah, bantuan ubat-ubatan dan makanan disekat, sekolah ditutup, hospital sudah tidak mampu menampung pesakit, ketakutan dan kebimbangan menjadi teman. Apa lagi mimpi ngeri yang mereka tidak alami, semuanya sudah dirasai. Malah yang paling menyedihkan, negara jiran terdekat yang dipimpin oleh Arab Islam, Mesir juga sama hati perutnya dengan rejim zionis. Warga Gaza yang ingin mendapat perlindungan dihalang memasuki sempadan ke Mesir. Dimana letaknya rasa bersaudara sesama Islam? Saya tidak mengerti. Mungkin saja Si Husni Mubarak itu sudah diracuni doktrin brutal Israel yang tidak waras.


Saya hanya mampu melahirkan simpati di dalam hati. Hendak pergi membela mereka, jauh sekali angan itu. Malah kekuatan pun tidak ada walau sekelumit. Begitu lemahnya diri ini. Hanya doa yang mampu dititipkan agar mereka semua diberi kekuatan dan kesabaran. Sedikit sumbangan wang ringgit juga mampu dihulurkan walau tidak seberapa. Sama-sama kita panjatkan doa agar saudara-saudara kita di Palestin dilindungi Allah swt dan semoga rejim Israel akan diberikan bencana dan kehancuran.

"Ya Allah, ampunilah dosa kami yang terlalu lemah ini. Hanya padaMu kami serahkan segalanya. Hanya padaMu tempat kami memohon pertolongan. Lindungilah saudara-saudara kami di Palestin. Berilah mereka kekuatan dan kesabaran. Berikanlah kemenangan kepada para mujahidin yang berjuang demi agamaMu. Dan Engkau hancurkanlah bala tentera Israel serta mereka yang bersekongkol dengan mereka. Engkaulah Tuhan yang Maha Kuasa. Ya Rabbal A'lamin. Amin.."

Al-fatihah untuk saudara-saudara kita yang telah pergi..