02 Januari 2009

Rintihan Gaza, Ratapan jiwa mukmin



Saat ini bumi Palestin terus bermandi darah. Tika ramai manusia berpesta menyambut ketibaan tahun baru dengan percikan bunga api dan tawa ceria, warga Palestin menyambutnya dengan letupan bom roket di sini sana bersama ratapan dan tangisan. Laskar durjana Israel terus menggila merobek bumi Gaza tanpa sedikitpun belas ihsan. Bagi mereka nyawa itu tiada harga. Sehingga kini sekurang-kurangnya 400 nyawa telah terkorban dan kira-kira 2000 telah tercedera dalam serangan yang telah memasuki hari ketujuh. Di suatu penjuru Gaza di pagi yang hening, kerakusan Israel sudah tiada kenal perikemanusiaan. 5 orang kanak-kanak perempuan yang tinggal berhampiran masjid terbunuh dek bom roket zionis yang tiada bermata. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Semoga mereka ditempatkan bersama para syuhada'. Itu hanya satu kisah kekejaman rejim zionis di bumi anbiya' itu yang tidak diketahui bilakah tiba penghujungnya.

Kediaman dan bangunan musnah, bantuan ubat-ubatan dan makanan disekat, sekolah ditutup, hospital sudah tidak mampu menampung pesakit, ketakutan dan kebimbangan menjadi teman. Apa lagi mimpi ngeri yang mereka tidak alami, semuanya sudah dirasai. Malah yang paling menyedihkan, negara jiran terdekat yang dipimpin oleh Arab Islam, Mesir juga sama hati perutnya dengan rejim zionis. Warga Gaza yang ingin mendapat perlindungan dihalang memasuki sempadan ke Mesir. Dimana letaknya rasa bersaudara sesama Islam? Saya tidak mengerti. Mungkin saja Si Husni Mubarak itu sudah diracuni doktrin brutal Israel yang tidak waras.


Saya hanya mampu melahirkan simpati di dalam hati. Hendak pergi membela mereka, jauh sekali angan itu. Malah kekuatan pun tidak ada walau sekelumit. Begitu lemahnya diri ini. Hanya doa yang mampu dititipkan agar mereka semua diberi kekuatan dan kesabaran. Sedikit sumbangan wang ringgit juga mampu dihulurkan walau tidak seberapa. Sama-sama kita panjatkan doa agar saudara-saudara kita di Palestin dilindungi Allah swt dan semoga rejim Israel akan diberikan bencana dan kehancuran.

"Ya Allah, ampunilah dosa kami yang terlalu lemah ini. Hanya padaMu kami serahkan segalanya. Hanya padaMu tempat kami memohon pertolongan. Lindungilah saudara-saudara kami di Palestin. Berilah mereka kekuatan dan kesabaran. Berikanlah kemenangan kepada para mujahidin yang berjuang demi agamaMu. Dan Engkau hancurkanlah bala tentera Israel serta mereka yang bersekongkol dengan mereka. Engkaulah Tuhan yang Maha Kuasa. Ya Rabbal A'lamin. Amin.."

Al-fatihah untuk saudara-saudara kita yang telah pergi..

1 ulasan:

noraidah berkata...

Muhammad,
Sedih betul tgk keadaan dan saudara seislam kita di Gaza. Lemah sangat kita orang Islam tak mampu tolong saudara2 kita di sana. Kan elok kalau lahir tokoh2 macam Panglima Perang Islam Khalid AlWalid,Sallehuddin AlAyubi, Umar Mukhtar dll.Boleh mrk tolong serang dan musnahkan keangkuhan Yahudi dan Amerika. Kita doakan kemusnahan dan kehancuran terhadap Israel & Amerika. Amin