29 Mac 2009

Tak yah baca, tengok je

Terasa malas pulak nak menaip. Then juz put these devotees pics for this entry. =)

kundasang, sabah

ampang point

miri, sarawak

kundasang, sabah

kundasang, sabah

phnom penh, kemboja

istana budaya KL

mandarin oriental KL

ranau, sabah

mandarin oriental KL

26 Mac 2009

Balik tabir Konsert - mengurus program dan protokol

Hmm.. tak sangka ramai yang berpusu-pusu meninggalkan komen di blog saya selepas saya memasukkan entri mengenai Konsert Amal Manis V yang berlangsung baru-baru ini. Topik hangat yang diperkatakan ialah siapa gerangan yang menjadi 'nakhoda' malam konsert itu yang disifatkan sebagai 'berjaya dengan cemerlang'. Tambahan lagi 'nakhoda' itu adalah seorang muslimah, lalu ramai yang tertanya-tanya siapa dia. Walau siapa pun dia, setinggi tahniah diucapkan kepadanya atas kejayaan melaksanakan tugas dengan baik di malam yang menjadi wadah dakwah Islami itu. Dan perlu diingat, SEMUA AJK program memberi sumbangan yang besar untuk menjayakan program tersebut terutama Ketua Pengarah DKI II, Saudara Kushairi.

Sebenarnya persoalan siapa tidak penting, yang penting BAGAIMANA 'dia' dan seluruh team penganjur telah menguruskan program itu dengan jayanya. Mungkin saya boleh berkongsi sedikit pengalaman yang dimiliki lantaran saya juga pernah memegang post yang sama ketika Konsert MANIS III pada tahun 2007, dan saya juga terlibat secara langsung dalam perjalanan acara untuk Konsert Amal MANIS V baru-baru ini. Di bawah sedikit tips yang boleh dikongsi bersama untuk menjayakan sebuah majlis seperti itu (khusus bagi bahagian program dan protokol):
  1. Bentukkan satu team yang komited dan mempunyai minat yang tinggi.
  2. Bincang dengan AJK tentang perjalanan aturcara program yang menarik dan mengujakan penonton. Fikirkan konsep dan kelainan yang ingin dibawa. Kreativiti amat diperlukan di fasa ini.
  3. Pastikan segala dokumentasi disediakan iaitu Aturcara Pentadbiran, Skrip MC, Skrip teknikal dan teks ucapan (jika diperlukan).
  4. Pilih variasi artis yang benar-benar dapat menarik minat penonton dari pelbagai golongan untuk hadir. Sedikit kajian atau survey wajar dilaksanakan.
  5. Pilih mereka yang benar-benar berbakat dan berkemahiran sahaja untuk menjadi pengacara, pembaca doa, pelakon, penyajak atau sesiapa saja yang terlibat di pentas mendepani penonton. Pastikan mereka membuat latihan dan dipantau untuk memastikan mereka cukup bersedia.
  6. Sebelum program, pastikan semua ahli jawatankuasa (tiada yang terkecuali) diberikan taklimat secara terperinci mengenai perjalanan program dan tugas-tugas mereka dari awal hingga akhir. Ketegasan Ketua Protokol amat diperlukan.
  7. Pastikan raptai penuh dijalankan sekurang-kurangnya tiga kali. Raptai penuh lengkap dengan keperluan teknikal seperti PA system, muzik yang diperlukan, lampu pentas, followspot, dan persembahan multimedia. Raptai penuh AMAT penting untuk memastikan semua yang terlibat faham dengan perjalanan program dan memastikan semua keperluan teknikal dalam keadaan baik dan bersedia.
  8. Sejurus sebelum majlis bermula, pastikan semua AJK sudah bersedia dengan tugasan masing-masing dan berada di tempat yang telah ditentukan. Pastikan juga artis, pengacara, dll juga turut bersedia.
  9. Ketika majlis sudah bermula dan berlangsung, ikut sahaja aturcara perjalanan program yang telah dirancang dengan tenang dan tidak tergopoh- gapah. Sentiasa ingatkan mereka yang bertugas tentang apa yang perlu dilakukan sebelum tiba masanya.
  10. Selepas majlis tamat, jangan ingat tugasan anda sudah habis. Pastikan perkara-perkara pasca majlis diberi perhatian seperti sesi autograf artis, aliran keluar penonton, jamuan VIP dan pengemasan alatan-alatan teknikal yang berharga.

Itu sajalah tips yang boleh dikongsi bersama untuk sesiapa yang ingin atau bakal menganjurkan apa-apa majlis khususnya Konsert nasyid di tempat anda. Semoga dapat menjadi panduan.



muhammadz: Teringat Konsert MANIS III; Raihan, Inteam & Devotees. Dewan penuh sesak hingga ke tangga.

23 Mac 2009

MANIS yang manis!


Alhamdulillah.. Konsert Amal Manis V telah berlangsung dengan jayanya di Dectar UKM. Tahniah kepada Famili DKI II khususnya sahabat saya Kushairi yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan program. Saya pasti malam itu akan meninggalkan memori manis buat semua yang terlibat.

Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan persembahan Devotees pada malam itu. Ramai yang memberi respon positif terhadap konsep yang kami bawakan. Walaupun idea2 hanya muncul di saat2 akhir, namun segalanya 'menjadi' malam itu. Alhamdulillah..

Persembahan pentomen berdasarkan sajak nukilan saya juga turut menyentuh perasaan. Tahniah kepada kumpulan pentomen yang terdiri daripada anggota palapes ukm. Tahniah juga kepada semua rakan-rakan lain; Nice, Fareast dan Inteam yang berjaya menampilkan persembahan yan istimewa.

Kepada ISIUKM teruskan perjuangan memartabatkan Islam, saya pasti menunggu MANIS VI.

18 Mac 2009

Countdown to Konsert Amal Manis V


Konsert Amal Manis V, DKI II UKM tinggal beberapa hari sahaja lagi. Saya yakin urusetia program sedang bertungkus-lumus membuat persiapan terakhir untuk memastikan kejayaan konsert. Saya dan Devotees juga membuat beberapa siri latihan untuk konsert tersebut. InsyaAllah kami akan tampilkan sesuatu yang berlainan daripada persembahan-persembahan sebelum ini. Di sudut hati juga berdebar sedikit menanti puisi nukilan saya yang akan dipersembahkan sebagai sebuah pentomen berlatarkan penderitaan rakyat Palestin. Juga tidak sabar untuk menyaksikan persembahan rakan-rakan artis lain; Inteam, Fareast dan Nice yang pasti menampilkan sesuatu yang istimewa. Kepada yang belum dapatkan tiket, boleh dapatkannya pada hari Konsert. Jumpa di sana!


muhammadz: Jangan lupa dengarkan Segmen Nasyid On Stage IKIM FM pada 19 Mac 10 malam. Ada promosi Konsert Amal Manis V bersama wakil-wakil artis.

05 Mac 2009

Tempat jatuh lagi dikenang

Sudah lama rasanya saya tidak mencoretkan sesuatu yang panjang di blog ini. Maklumlah kadang-kadang dihimpit tugasan kerjaya utama dan kedua, ditambah lagi 'tempahan' karya yang tiba-tiba datang 'berguni-guni' (hehe taklah banyak mana pun). Apapun, kali ini saya terdetik untuk bercerita mengenai tanah tumpah darah saya, sebuah daerah di lembah pergunungan Crocker; Ranau, di negeri Sabah di bawah bayu. Tiba-tiba hati ini digamit kerinduan pada daerah asal yang melakar jutaan memori suka dan duka. Rindu pada pemandangannya, rindu pada kedinginan udaranya, rindu pada sahabat-sahabat lama, rindu pada keenakan makanannya, rindu pada segalanya. Orang kata, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Di daerah inilah saya dilahirkan, dibesarkan dan dididik menjadi seorang 'manusia'. Alhamdulillah.

Ranau di waktu pagi, diselaputi kabus dingin yang menyamankan


Biar saya ceritakan sedikit latar belakang daerah ini. Ranau terletak kira-kira 120 km dari Kota Kinabalu dan perjalanan ke situ mengambil masa kira-kira 2 jam. Ranau merupakan sebuah daerah yang dikelilingi bukit-bukau yang menghijau dan di daerah inilah terletaknya puncak tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu yang memukau pandangan mata. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Ranau akan melalui jalan raya bengkang-bengkok di lereng-lereng bukit. Pemandangan hijau dan indah banjaran Crocker menjadi sajian mata sepanjang perjalanan. Di waktu petang dan malam sepanjang perjalanan biasanya akan dilitupi kabus yang tebal dan jarak pemandangan hanya kira-kira 20-30 meter. Daerah ini terkenal sebagai tempat pelancongan popular di negeri Sabah kerana mempunyai banyak tarikan pelancong, antaranya Taman Negara Kinabalu yang merupakan tapak warisan dunia Unesco, Poring Hot Spring, Ladang teh Sabah, Kundasang dan macam-macam lagi. Majoriti masyarakatnya berketurunan Dusun, dan agama anutan mereka adalah Islam dan Kristian. Begitulah serba sedikit mengenai daerah asal saya ini. Memang saya berasa amat sedih kerana 2007 menjadi tahun terakhir saya di sana setelah 22 tahun menetap di sana. Masa menentukan dan telah ditakdirkan tibanya saat perpisahan. Biarpun Ranau telah saya tinggalkan, namun saya tetap menganggap Ranau adalah kampung halaman saya dan tempat asal saya yang tak akan pernah luput dari ingatan.


Dikelilingi bukit bukau yang menghijau


Di situlah tempat saya mengenal erti hidup. Dari seorang bayi yang tidak tahu apa-apa sehingga menjadi seorang mahasiswa. Terlalu banyak nostalgianya. Rumah kuaters guru SMK Mat Salleh menjadi tempat berteduh selama 18 tahun dan rumah tingkat 2 di kampung Lingkudau bertentangan dengan puncak Kinabalu yang sayup di pandangan menyimpan kenangan selama 4 tahun. Masjid ArRahman Ranau menjadi saksi seorang kanak-kanak belajar mengeja dan membaca AlQuran. Disitulah rumah kedua saya ketika meniti usia kanak-kanak. Masih terbayang-bayang dan terngiang-ngiang saat menjejakkan kaki di Taski Al-Arqam pada usia 5 tahun. Seterusnya ke Tabika Kemas bertentangan padang daerah yang mencatat seribu nostalgia manis. Kemudian, langkah ilmu diatur ke Sekolah Kebangsaan Pekan Ranau yang memahat pelbagai kisah kejayaan. Sampai sekarang saya masih hafal lagu rasmi sekolah ini. Paling erat dalam ingatan, kehidupan penuh suka duka di SMK Agama Ranau (SEMEKAR) yang amat dirindui. Sekolah di lereng bukit berteman rimba nipis yang indah itu menyimpan memori yang tak terhilangkan. Di situlah saya membesar menjadi seorang remaja yang matang dalam menilai kehidupan, memahami erti persahabatan, menghargai saat kecemerlangan, dan pelbagai lagi plot-plot hidup yang penuh makna. Kawan-kawan rapat yang amat menyenangkan, rakan-rakan sebilik yang 'sporting', guru-guru yang banyak membantu, senior junior yang 'best'. Semuanya masih kukuh terpahat di minda. Kadangkala terasa diri ini ingin kembali ke zaman sekolah. Tapi apakan daya itu mustahil; hidup perlu terus. Masih segar di ingatan bilik-bilik asrama, kolah tempat mandi, kelas tempat belajar, padang tempat bermain, lorong pintas keluar ke pekan Ranau, Surau tempat beribadah, sungai kecil tempat mandi bila tiada air. Huh.... seronoknya kalau dapat kembali ke zaman itu.


Di rumah inilah saya dibesarkan selama 18 tahun


Pemandangan dari balkoni rumah saya, sayup kelihatan Gunung Kinabalu

Masa berlari dan terus berlari. Sedar tak sedar sudah setahun tiga bulan saya meninggalkan Ranau. Begitu pantas waktu berlalu, namun Ranau tidak pernah luput dalam ingatan. Kalau hendak dicatatkan semua kisah suka duka selama 22 tahun di sana, tak terdaya tangan ini menaip ceritanya yang terlalu panjang. Cukuplah ia tersimpan rapi di minda. Yang pasti I'm proud to be Ranauian, I'm proud to be Sabahan and definitely I will be coming back to you, Ranau.....

Puncak Kinabalu yang sentiasa menggamit hati untuk kembali

04 Mac 2009

Tell me why

I accidentally found this video in youtube, which entitled 'the genius singer.' It's a great song sung by a boy. I'm not sure who he is, but his voice is just amazing and the song is very touching. I guess the title of this song is "Tell me why" as the boy repeat it several times. It's really a beautiful and meaningful song. Feel it...

02 Mac 2009

Puisi khas

Derita Lara Gaza


29 Disember 2008…

Tika alam masih diselimuti kegelapan

Fajar siddiq baru mahu menyinsing

Manusia masih dibuai mimpi

Lorong-lorong diulit sunyi sepi


Tiba-tiba…

Di suatu sudut ceruk Jabaliya

Langit gelap bercahaya terang

Dek percikan berkilauan

Lantas dentuman ganas menggegar bumi

Roket zionis meledak letupan

Memusnah rumah-rumah marhaen


Gadis-gadis Balousha yang tidak berdosa

Terbunuh serta-merta

Tika gadis-gadis kecil itu masih terlena

Dan mereka terus terlena untuk selamanya

Terlayu kaku tubuh-tubuh mungil mereka

Berlumur darah dipenuhi luka

Angkara roket yang tidak bermata

Angkara kesumat yang tak bernoktah


Terduduk terpana si ibu dan si ayah

Meratapi anak-anak yang tak lagi bernyawa

Lima orang kesemuanya, Lima orang!!

Aduh!!

Bertahun lama membesarkan mereka

Dengan jerih payah menempuh derita

Namun hanya dalam sekelip mata

Israel meragut jiwa mereka


Begitulah duka dan sengsara Gaza

Dek keangkuhan dan kezaliman rejim zionis

Yang gilakan darah manusia

Nyawa manusia bagai tiada harga

Kanak-kanak, wanita, warga tua

Bagi mereka tiada bezanya

Hospital, sekolah dan rumah

Sewenang-wenangnya dimusnah

Dengan bom roket yang tak kenal erti manusia

Hatta bom fosforus terlarang juga diguna

Tanpa secebis nuraga di dada

Tanpa sekelumit kesal di jiwa

Malah mereka tertawa ria

Bertepuk tangan meraikan jenayah

Melihat Gaza bermandi darah

Melihat Gaza dihambat derita


Namun dunia terus bungkam

Biar melihat mungkar di depan mata

Tak mampu berbuat apa-apa

Bagai kaki diikat tangan dipasung

Walau ada yang lantang bersuara

Namun tenggelam tak berdaya

PBB? Liga Arab?Resolusi? OIC......

Buntu dan terus buntu

Negara jiran Mesir?

Ah! Sama saja hati perutnya

Pemimpinnya berkiblat Olmert jua

Tiada rasa bersaudara

Bingung dan terus bingung


Di suatu penjuru kota Gaza

Berdiri seorang pemuda

Di sebalik runtuhan rumahnya

Mengenang keluarga yang sudah tiada

Sedih, pilu dan sebak menerka

Namun dia pasrah pada ketentuanNya


Lalu dia membisik pada dirinya

Aku berjanji untuk menebus segalanya

Daripada lasykar-lasykar Israel yang gila

Akanku balas kejahatan mereka

Dengan segala kudrat yang ku ada

Biar jasad dan nyawaku menjadi taruhan

Tidak ku gentar turun ke medan juang

Akanku pertahankan tanah tumpah darahku ini

Demi maruah Islam yang tercinta

Demi bangsa jatiku yang tercinta

Demi negara Palestin yang tercinta

Inilah tekadku inilah azamku


Semangat jihadnya kian membara

Membuak-buak hasratnya memburu syahid

Diatur langkahnya menyusur jalan fisbilillah

Sambil bergetar hatinya mengagungkan Allah

Lantas tiap dinihari dia bermunajat

Bersama serdadu seperjuangan memohon rahmat

Diberi kekuatan menghadapi musuh-musuh Islam

Moga ada sinar buat marhaen Palestin

Di penghujung pengharapan


Ihzimhum Ya Allah!

Ihzimhum Ya Allah!

Ihzimhum Ya Allah!

Wansurna a’laihim


Allahu akbar!

Allahu akbar!

Allahu akbar!



muhammadz: puisi ini saya nukilkan khas untuk sebuah konsert amal untuk Palestin yang akan diadakan bulan ini. InsyaAllah andai tiada aral, ia akan dipentaskan sebagai sebuah pentomen.