26 Mei 2009

Kem Smart Quran

InsyaAllah, saya akan sama-sama terlibat dengan Kem Smart Quran yang akan diadakan pada 7-12 Jun 2009 bertempat di Kolej Zaaba UKM. Program ini khas untuk adik-adik sekolah rendah dan sekolah menengah. Klik poster untuk besarkan.


25 Mei 2009

Bangkit semula!!

Saya baru saja habis membaca sebuah majalah berbahasa Inggeris yang sering mengetengahkan kisah-kisah kehidupan yang memberi sumber inspirasi. Isu fokus yang diutarakan dalam edisi terbaru majalah tersebut cukup menarik; Bangkit Semula!


Semua orang pernah mengalami kegagalan dan/atau kejatuhan dalam perjalanan kehidupan. Biar setinggi mana pun kedudukan seseorang itu dan sesempurna mana pun kehidupannya (walau tidak ada yang sempurna), pasti seseorang itu pernah merasai detik-detik yang pahit walaupun sedikit. Penulis J.K Rowling berkata "Kita tidak mungkin akan benar-benar mengenali diri kita dan kekuatan perhubungan kita, sehinggalah kedua-duanya diuji dengan kesukaran."

Ramai orang apabila pertama kali merasai kegagalan terus saja ingin membuangnya jauh-jauh. Tidak kira apa jua bentuk kegagalan yang mereka hadapi, sebenarnya dalam kepahitan yang mengiringi setiap kesukaran itu ada pengajaran berharga yang amat berguna. Jika difikir sedalam-dalamnya, kepahitan itu adalah peluang keemasan yang manis! Sebenarnya kunci yang mengawal diri untuk melihat pahit itu sebagai manis adalah minda. Minda bertindakbalas apabila menghadapi kegagalan, dan boleh diprogramkan semula untuk mencipta kejayaan.

Minda orang yang berjaya memandang apa saja kegagalan yang dihadapi sebagai satu peluang, bukan sebagai satu kesakitan yang akan memadam segalanya. Apabila dicabar, minda akan segera menilai, membaiki dan mencuba semula. Minda akan menjadi lebih fokus apabila mendepani sebarang kesukaran lantaran cuba mengenalpasti apakah kesilapan-kesilapan yang telah berlaku. Minda yang positif akan belajar dari setiap kesilapan dan terus berkembang lantas membibitkan peluang-peluang yang jarang sekali terjangkau dalam pemikiran normal.

Jika direnung kembali, Allah swt telah memberitahu hamba-hambaNya berkenaan perkara ini dalam Surah Al-insyirah ayat 5-6:

"Dan sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan."

Cukup jelas lagi nyata mesej yang terkandung dalam ayat di atas. Malah ditegaskan sebanyak dua kali. Kalam suci ini mengingatkan kita bahawa setiap kesukaran, kedukaan, kepahitan, kegagalan, kesulitan yang dihadapi, pasti ada sinar dihujungnya. Cuma terpulang kepada diri dan minda kita untuk menilai dan menganjakkan paradigma ke tingkat yang sewajarnya.


muhammadz: motivasi untuk diri sendiri.




Setahun


Sedar tak sedar, seminggu lagi genap setahun diri ini memasuki alam pekerjaan. Jika diimbau kembali setahun yang telah berlalu, saya masih mengingati bagaimana kali pertama meniti hari sebagai seorang yang bergelar pekerja. Setelah 4 tahun menuntut ilmu di perbukitan Bangi dan berjaya memperoleh sekeping ijazah sarjana muda, akhirnya langkah kehidupan diteruskan dengan bekerja. Alhamdulillah pekerjaan pertama sebagai seorang Jurutera Ujian (Test Engineer) di sebuah syarikat aeroangkasa tempatan benar-benar mengajar saya tentang kehidupan berkerjaya. Ia sememangnya dunia yang amat berbeza dengan dunia pelajar. Pembawaan diri amat penting untuk memastikan survival seorang graduan yang telah berkerjaya. Paling penting dalam pekerjaan adalah attitude & aptitude yang positif kerana elemen itu sangat diperlukan untuk menjadi pekerja yang berdedikasi, berintegriti dan memberi nilai tambah kepada organisasi. Jika dilihat dalam pasaran kerjaya, itulah elemen utama yang akan dinilai oleh mana-mana organisasi, besar atau kecil dalam memilih pekerja.

Kadang-kadang saya merenung kembali kehidupan ketika di kampus universiti dahulu. Jika difikirkan semula, banyak sekali ruang dan peluang yang boleh direbut untuk mempertingkatkan kualiti diri. Kadang-kadang timbul sedikit kekesalan memikirkan kehidupan ketika zaman mahasiswa dahulu "banyak main-main" saja dan sering melihat saja peluang-peluang di depan mata. Namun alhamdulillah ada juga pengalaman-pengalaman ketika di kampus dulu yang menjadi bekalan di zaman pekerjaan. Nasihat saya kepada mereka yang masih menuntut, ambillah sebanyak mana peluang untuk memajukan diri kerana ia amat berguna di kemudian hari.

Selama setahun ini juga, banyak dugaan dan ujian yang dihadapi. Paling menguji hati dan minda ialah apabila diri ini dituntut untuk membuat keputusan-keputusan yang penting. Saya belajar daripada pengalaman-pengalaman lalu; bahawa membuat keputusan yang tepat dalam apa jua perkara adalah sangat-sangat mustahak kerana ia menentukan hala tuju di hadapan dan mengelakkan kita menyesal di kemudian hari. Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum membuat sebarang keputusan dan jangan sekali-kali memikirkan kesannya dalam jangkamasa yang singkat. Fikirlah bahawa apa jua keputusan yang kita buat, ada kesannya dalam jangkamasa yang panjang. Dan jangan lupa untuk memohon petunjuk Allah swt kerana hanya Dia sahaja sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui segala-galanya.

Setahun tidak lama, pejam celik masa terlalu pantas berlari. Hidup perlu terus. Saya sedar usia saya di alam kerjaya masih hijau dan masih mentah. Masih banyak yang saya perlu perbaiki dan gali. Namun setahun berlalu memberikan pengalaman dan ilmu yang amat berharga dan tak ternilai harganya. Setahun memberi saya peluang mendekati rakan-rakan sekerja yang datang dari pelbagai latar belakang dan cara hidup. Setahun menyedarkan saya betapa di luar sana masih ramai masyarakat Islam kita yang dahagakan ilmu agama. Setahun mengajar saya kehidupan di atas kaki dan akal sendiri. Setahun itu amat bermakna.

Langkah kaki ini diteruskan untuk fasa seterusnya. Semuanya bergantung pada diri sendiri untuk menentukan hala tujunya.

muhammadz: "Hanya padaMu kami berserah dan padaMu jua kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus..."

04 Mei 2009

Catatan kembara ke KK

Hujung minggu baru-baru ni, Devotees diundang untuk menjayakan Gempak Desa Astro (GDA) di Kuala Kedah. Ini adalah kali kedua kami diundang untuk GDA selepas kali pertama di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Alhamdulillah dah lama tak pi Kedah, la ni dapat rezki pi sana, baguih jugak na..hehe.

<01.05.09>

Kami bertolak dari Astro Bukit Jalil menaiki Kia Carnival siap dengan drebar yang disediakan oleh pihak penganjur kira-kira jam 10 pagi. Sebanyak 4 buah kereta kesemuanya berkonvoi menuju ke arah utara tanah air. Antara artis yang turut sama ke GDA kali ini ialah Zahid, Qhoud AF (betul ke?) , Lotter AF dan Akbar. Memandangkan perjalanan masih jauh dan ramai yang masih belum mengisi perut, so kami singgah sebentar menjamu selera di Hentian Jejantas Sungai Buloh. Setelah semuanya kenyang, kami meneruskan perjalanan menyusuri lebuhraya PLUS yang agak sesak dengan kenderaan. Maklumlah kebetulan cuti hari pekerja. So ramai yang ambil kesempatan untuk balik kampung. Dalam perjalanan, tak banyak benda yang boleh dilakukan melainkan tidur. zzzzzz.....


Dalam Kia Carnival yang membawa kami


Setelah menempuhi perjalanan selama 8 jam, akhirnya kami tiba di destinasi yang ditujui; Kuala Kedah. Kami check-in kat Hotel Zen yang masih baru dan dekorasi biliknya agak menarik. Simple n modern. Tapi sayang bilik airnya hanya berdindingkan cermin lutcahaya yang membolehkan pandangan kasar manusia biasa menembusinya (apatah lagi superman). Huhu.. Mungkin tuan hotel ni nak tiru style orang puteh kot. Terpaksa la mandi dengan penuh hati-hati dan bijaksana.

Malam itu kami semua menjamu selera di sebuah restoran masakan siam. Nama restoran tu agak pelik; Restoran Rokak (kalau tak silap la, hmm Rakok kot hehe..). Tapi alhamdulillah makan kat situ memang sedap. Macam-macam lauk ada; udang sambal, ikan stim, ikan 3 rasa, tomyam campuq, sup tulang, teloq dadaq, daging merah dan minumannya jus oren. Sungguh menyelerakan. Tambah2 lagi saya dah beberapa hari tak makan nasi (diet la konon tu). Lupa nak habaq, malam tu ustaz Nabil far east bersama isterinya dan kumpulan Firdaus yang datang dari UUM turut serta bersama kami.

Setelah puas menjamu selera, kami terus ke tapak GDA di sebuah perkampungan Kuala Kedah. Tak ingat nama kampung tu, tapi sebelum sampai ke kampung tu kena lalui sebuah jambatan yang merentasi sungai Kedah. Nama jambatan tu senang diingati; Jambatan Tok Pasai. Kami ke sana untuk sesi soundcheck untuk persembahan keesokan harinya. Ramai jugak penduduk kampung terutamanya kanak2 datang malam tu. Selepas selesai soundcheck, kembali ke hotel untuk sesi bertafakur di atas katil. Selamat malam. zzzz....

<02.05.09>

Pagi. Takde apa2 aktiviti yang dirancang sebab program hanya akan bermula pukul 1 tengahari. So lepas breakfast, duduk2 kat bilik saja sambil menonton TV. Kira-kira pukul 1, kami bergerak ke perkampungan semalam untuk makan tengahari bersama anak2 yatim yang dihimpun dari sekitar kawasan tersebut. Kami menjamu selera di rumah seorang pakcik yang bermurah hati menyediakan juadah tengahari untuk rombongan kami dan anak2 yatim. Semoga Allah murahkan rezki pakcik tu. Turut serta ialah encik Izelan Basar, pengurus astro oasis dan ustaz zul, hos kalam suci astro oasis. Setelah selesai menjamu selera, kami bersalawat dan bersalam-salaman dengan adik2 anak yatim, sambil mereka diberi sedikit cenderahati daripada pihak astro. Sempat juga bergambar bersama artis2 terlibat dan ikon2 astro oasis.

Bersama ustaz Nabil and Idzwan Firdaus

Petang itu, kira-kira pukul 4 petang, kami sudah bersedia di tepi pentas liga ilmu, tempat berlangsungnya persembahan kami. Walaupun sebelum itu hujan turun agak lebat dan menyebabkan padang sedikit becak, namun kehadiran orang ramai tidak mengecewakan. Kami memulakan persembahan selepas dipersilakan oleh juruacara petang itu ustaz Nabil. Slot persembahan tersebut dinamakan 1001 inspirasi. Kami memilih lagu "Mencari Cinta" dan "Sahabatku" untuk disampaikan kepada hadirin, sesuai dengan suasana petang. Selepas Devotees, Akbar mengambil alih pentas dengan menyanyikan lagu "Siapakah di hatimu" dan "Aisyah". Ustaz Akhil Hayy turut membuat persembahan petang itu. Setelah selesai slot 1001 inspirasi, rakaman Liga Ilmu dimulakan. Liga Ilmu petang itu menampilkan ikon2 astro oasis; ustaz Akhil Hayy, ustaz Shukri dan ustaz Syed manakala ustaz Zul bertindak sebagai moderator. Sedikit gangguan teknikal menyebabkan Liga Ilmu bermula agak lewat, namun tidak gagal untuk menarik orang ramai untuk datang mendekati majlis ilmu petang itu.

Selesai liga ilmu, sepatutnya kami menyampaikan sebuah lagi lagu, namun dek kerana hujan yang turun tiba2 ditambah lagi dengan masa yang tak mengizinkan, persembahan dibatalkan. Kami meneruskan agenda di surau kampung untuk solat maghrib berjamaah dan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh ustaz Shukri (Hos Iktibar Tanah Suci Astro Oasis). Ustaz Shukri memberi tazkirah yang berkisar tentang hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan Allah. Beliau memetik ayat 112, Surah Ali-Imran;

"Mereka ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia....."

Olahan tazkirah oleh ustaz Shukri cukup menyentuh kerana beliau menyelitkan kisah2 benar yang beliau sendiri pernah alami dan menjadi saksi. Kisah-kisah tersebut memberi pengajaran yang cukup bermakna; Tulus ikhlas kerana Allah dalam mengerjakan apa jua perkara. Hanya mengharapkan keredhaan dariNya. Tidak memikir balasan dunia semata kerana jika itu menjadi matlamat, kehinaan akan menimpa diri sama ada dalam sedar ataupun tidak.

Ustaz Shukri menyampaikan tazkirah

Di akhir tazkirah ustaz membacakan makna sepotong hadis qudsi yang berbunyi;

"Barangsiapa mengejar dunia, dunia akan lari daripadanya. Barangsiapa mengejar akhirat, dunia akan lari menujunya."

Selesai solat isyak, kami menjamu selera di Restoran Nelayan bersama-sama ustaz Shukri. Sempat juga berbual-bual dengannya. Banyak pengalaman beliau sebagai Pegawai Agama Sultan Terengganu dikongsi bersama. Dan alhamdulillah, makan malam tu pun sedap2 belaka. Selepas memenuhkan perut sepenuh-penuhnya, kami balik ke hotel untuk aktiviti suka hati masing2.

<03.05.09>

Hari terakhir. Sempat singgah sekejap di Pekan Rabu, Alor Star dalam keadaan hujan lebat. Tak tau nak beli apa, cuma cekup kuah rojak buah mak bee dan buah pala untuk buah tangan famili di kampung (sabtu depan nak balik kampung). Bertolak balik ke KL kira-kira pukul 12 tengahari. Lebuhraya agak sesak jugak. Alhamdulillah sampai KL pukul 7 petang. InsyaAllah destinasi GDA akan datang, 13 jun Dungun Terengganu, 4 Julai Felda Jenderak Temerloh Pahang, dan 8 Ogos Pontian Johor..

Pekan Rabu Alor Staq