07 Disember 2009

Catatan Kembara Kemboja 2009 Siri I

Penat masih terasa. Baru saja balik dari Langkawi semalam selepas habis tugasan di Lima 2009. Sebelum itu, pada 26 hingga 30 Oktober 2009 saya dan rakan-rakan Devotees berada di Phnom Penh Kemboja untuk menjayakan persembahan khas sempena Hari Raya Eidul Adha. Kembara ke bumi Kemboja kali ini lebih bermakna kerana turut disertai rombongan Kembara Korban anjuran IKIM FM dan EZ Qurban.

Pada 26 Oktober, kami berlepas ke Kemboja kira-kira hampir jam 4 petang dari LCCT menaiki penerbangan Air Asia. Tiba di Phnom Penh 1 jam 45 minit kemudian disambut oleh bos Ez Qurban, Ustaz Azhar. Rasa bersyukur kerana masih diberi peluang menjejakkan kaki untuk kali ketiga di situ. Kami terus menaiki bas mini untuk ke Chrouy Meteri, sebuah perkampungan Islam di pinggir Sungai Mekong. Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam dan kami sampai di saat waktu solat Isyak sudah pun tiba. Gembira dapat berjumpa lagi dengan saudara Rozali, sahabat kemboja yang sudah setahun tidak bertemu. Perut sudah berbunyi minta diisi. Alhamdulillah kami tiba dengan langkah kanan ketika orang kampung dan rombongan Kembara Korban sedang menjamu makan malam. Kami dihidangkan dengan nasi dan lauk pauk yang dimasak oleh orang-orang kampung. Rasa lapar membuatkan semuanya nampak berselera. Ustaz Erwan IKIM FM juga turut serta dalam rombongan Kembara Korban. Sempat juga berborak-borak bersama Ustaz Erwan usai makan malam yang diakhiri dengan minuman air kelapa. Selepas makan, kami bersama krew Ez Qurban dan IKIM FM sempat berbincang ringkas mengenai persembahan yang akan berlangsung keesokan harinya. Setelah selesai kami terus ke masjid kampung untuk solat dan bermalam di situ.

Di LCCT selepas check in

Bumi Kemboja dari atas

Di Phnom Penh International Airport selepas tiba

Keesokan harinya, setelah solat subuh kami dihidangkan dengan panorama pagi Sungai Mekong yang sangat indah dan mempesona. Terpana melihat jalur-jalur cahaya fajar yang menakjubkan melatari ketenangan arus sungai Mekong yang menjadi sumber rezeki penduduk kampung. Sungguh hebat ciptaan Allah. SubhanAllah. Saya terpaku di tebing sungai sehingga matahari memancarkan cahayanya. Foto-fotonya saya akan upload dalam post khas nanti. Sarapan kami pada pagi itu roti perancis cicah kari daging. Hmm.. sungguh menyelerakan walaupun roti agak keras. Ustaz Erwan pun makan banyak pagi tu. Selepas sarapan kami sempat menyaksikan ibadah korban yang dikendalikan oleh Ez Qurban di perkarangan masjid. Banyak juga lembu dan kambing yang tumbang pagi itu. Suasana cukup meriah kerana ramai kanak-kanak dan penduduk kampung turun menyaksikan ibadah korban dilaksanakan. Pelbagai gelagat dapat dilihat. Selesai korban dijalankan, kami pun berangkat , bersama-sama rombongan Kembara Korban menuju ke Phnom Penh. Sebelum bertolak imam masjid kampung sempat memberi kata-kata penghargaan dan meluahkan rasa terharu kepada semua ahli rombongan dan rakyat Malaysia yang memberi sumbangan kepada mereka.

Sarapan; Roti Perancis dan kari daging


Qurban dan Aqiqah di Chrouy Meterei

Penduduk kampung menyaksikan qurban

Nak aiskrim!!

Menghitung detik...

Anak-anak Islam Kemboja

Tiba di Phnom Penh kami terus ke Central Market atau Psar Thmey untuk memberi peluang kepada peserta Kembara Korban membeli belah buah tangan untuk dibawa balik ke Malaysia. Saya dan Devotees sempat menjenguk di sekitar pasar untuk meninjau apa yang patut dibeli. Banyak perubahan yang berlaku di situ berbanding setahun lepas. Gerai-gerainya lebih tersusun dan kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dijalankan. Setelah penat meninjau, kami akhirnya sepakat untuk membeli cincin yang sama bentuk setiap seorang sebagai trademark Devotees. hehe. Memang cantik cincin tu. Designnya agak berbeza dengan cincin-cincin yang lain. Dah puas berjalan di Psar Thmey, perut pun dah lapar, apa lagi makan tengahari tu memang berselera. Kami makan tengahari di Masjid Nurun Naim kilometer 8, lokasi persembahan yang akan berlangsung pada malamnya. Di situ hati gembira dapat bertemu dengan Suhaimi, adik kepada Rozali yang menjadi sahabat baik kami sepanjang berada di sana. Kami akan menginap di rumahnya pada malam itu. Selepas makan kami berehat-rehat dan solat di rumah Suhaimi. Keluarganya semua peramah dan baik-baik. Semua boleh faham Bahasa Malaysia dan ada yang memang lancar berbahasa Malaysia. Ini menjadikan kami lebih mesra dengan keluarga Suhaimi.


Psar Thmey

Cincin 'pertunangan' kami

Petang itu kami dihidangkan dengan Suet Kew (Sup Lembu) dan Pelie (Kerabu). Memang sedap. Kalau nak tau, salah seorang kakak Suhaimi pernah muncul dalam rancangan Rasa Halal Orient yang disiarkan di Astro Oasis. Sambil makan sambil bersembang-sembang dengan keluarga Suhaimi dan mak saudaranya. Memang happening. Saya juga sempat mencuba untuk menyediakan satu lagi makanan kemboja iaitu Pueh Kew. Daging lembu yang dicincang digaul dengan bawang putih, gula dan garam dimasukkan ke dalam usus lembu yang dah dicuci. Lepas tu diikat dan dijemur sebelum dimasak. Rupanya ala-ala sosej kalau kat Malaysia. Dapat pengalaman baru.

Pelie

Suet kew

Bersama Suhaimi dan Husniya

Menjamu pelie dan suet kew


Menyibuk membuat pueh kew

Malam pun menjelang tiba, selepas solat isyak kami sudah pun bersedia dengan berpakaian baju melayu 'sugus' untuk persembahan di perkarangan masjid. Majlis dimulakan dengan bacaan berzanji oleh Halim dan seterusnya takbir raya beramai-ramai. Kami mendendangkan 10 buah lagu kesemuanya termasuk beberapa lagu acapella. Malam itu memang meriah dengan kehadiran ramai penduduk-penduduk di sekitar kilometer 8 yang kebanyakannya beragama Islam. Malam itu juga diadakan kutipan sumbangan untuk penduduk sekitar yang menjadi mangsa kebakaran yang berlaku beberapa hari sebelum Hari Raya Eidul adha. Alhamdulillah banyak juga sumbangan yang diperolehi. Kami menutup persembahan dengan lagu I'tiraf. Terima kasih kepada Ustaz Erwan yang menjaga sound system malam itu. Walaupun ada sdikit gangguan teknikal, namun keseluruhannya kami berpuas hati dengan persembahan malam itu. Terima kasih kepada krew EZ Qurban, rombongan Kembara Korban dan semua penduduk yang hadir pada malam itu.


Makan dulu sebelum show

Coretan bersambung..

p/s: kalau nak tengok video. tengok kat blog halim.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam..emm sronok nyer d kemboja ye..ape2 pun thniah coz dpt meluaskan lg dakwah melalui nasyid saudara semua..=)

Tanpa Nama berkata...

SALAM...nak tanya, kat kemboja/phnom penh tinggal di hotel mana? banyak tak makanan halal kat sana?