23 November 2010

Kembara Qurban 2010: Siem Reap-Phnom Penh Part I

Alhamdulillah. Sekali lagi Devotees berpeluang menjejakkan kaki di Kemboja untuk kali yang ketiga. Kali ini lebih meriah dengan kehadiran Abon, Mu'adz, Hafiedz Udu, Ustaz Erwan IKIM.FM serta peserta-peserta Kembara Qurban. Terima kasih kepada EZ Qurban, terutamanya Ustaz Azhar & Puan Nor'adzimah yang sudi menaja kami ke sana. Juga kepada urusetia Kembara especially Sarah & Siti Noor Syazwana. InsyaAllah di ruang ini saya akan coretkan pengalaman kami sepanjang berada di sana untuk perkongsian bersama.


Hari Pertama (15.11.2010)

Bangun seawal pukul 2.00 pagi dan bersiap-siap untuk kali terakhir. Bertolak pukul 3.00 pagi ke LCCT bersama ayah, dan 2 orang adik Syarah & Safura yang turut sama ke Kemboja. Sampai di LCCT kira-kira pukul 3.30 pagi. Urusetia sudah setia menanti di food court untuk pendaftaran para peserta. Kelihatan ramai juga peserta yang sudah tiba. Devotees yang lain belum kelihatan. Khabarnya kereta yang dinaiki tayarnya pancit. Berat sangat kot haha. Menjelang 4.30 pagi semakin ramai peserta yang tiba dan sebahagiannya sudah ke kaunter check-in. Setelah selesai semua, kami masuk ke departure hall untuk solat subuh sambil menanti masa untuk berlepas.

Siem Reap - Ready for check-in

Hampir pukul 7.00 pagi, pesawat Air Asia AK280 berlepas dari LCCT menuju ke Siem Reap. Dapat tempat duduk sebelah pintu kecemasan betul-betul dekat sayap. View terhalang sikit tapi ok lah. Penerbangan yang mengambil masa 2 jam 5 minit agak membosankan sebab tak tau nak buat apa. Belek majalah Travel 360, lelap kejap, lepas tu order nasi lemak & white coffee untuk breakfast. Shauqi yang duduk sebelah lena sampai ke Siem Reap.

Take off!

Pukul 9.00 pagi selamat mendarat di Siem Reap International Airport. Di runway agak lengang, cuma pesawat kami sahaja yang ada. Cuaca di Siem Reap agak mendung. Ikut weather forecast memang musim hujan di sana tapi harap-harap ramalan tak menjadi kenyataan. Selepas selesai urusan bagasi, imigresen & kastam, kami semua berkumpul di luar untuk menanti bas. Kami disambut oleh Rozali & adiknya Husniya yang merupakan wakil Ez Qurban di sana. Muka masing-masing agak penat sebab mungkin tak cukup tidur malam tadi. Kami dibahagi kepada 2 kumpulan yang akan menaiki 2 bas yang berbeza untuk ke hotel yang akan dihuni sepanjang berada di Siem Reap. Sepanjang perjalanan, kelihatan banyak hotel di tepi jalan. Memang Siem Reap menjadi tumpuan pelancong terutamanya dari Korea & Jepun yang gemar melawat tinggalan-tinggalan sejarah di sini. Bandar Siem Reap tidak sesesak Phnom Penh dan kelihatan lebih teratur. Tiba di Hotel Sorphoun Villa, masing-masing seperti sudah tak sabar nak masuk bilik untuk berehat. Mungkin nak tebus tidur yang tak cukup semalam. Hotel Sorphoun Villa adalah satu-satunya hotel yang dimiliki oleh orang Islam di Kemboja dan terdapat sebuah restoran halal di hadapan hotel tersebut. Sebahagian peserta menginap di sebuah lagi hotel berhampiran iaitu New Siem Reap Town hotel.

Siem Reap International Airport

Sempat posing sebelum naik bas. Devotees, Bro Mu'adz, Hafiedz & Ust. Erwan

Hotel Sorphoun Villa tempat kami menginap

Selepas berehat, solat zuhur & makan tengahari. Kami bertolak ke destinasi pertama untuk dikunjungi, iaitu tasik terbesar di Asia Tenggara; tasik Tonle Sap. Kami dibawa menaiki bot untuk menjelajah tasik dan melihat perkampungan terapung di situ. Alhamdulillah cuaca sangat baik dan langit kelihatan sungguh cantik. Cerah dan biru. Bot menyusuri tasik yang mengalirkan airnya ke Sungai Mekong yang bersambung hingga ke Phnom Penh. Memang sangat luas seakan-akan laut. Sedang semua asyik menikmati panorama Tonle Sap, kami dikejutkan dengan deruan enjin-enjin bot yang seolah-olah mengejar kami. Sebuah bot meluru dengan lajunya ke arah bot kami lantas seorang budak perempuan melompat masuk ke dalam bot kami. Semua yang ada di atas bot terpegun & terkejut dengan aksi budak yang macam stuntwoman itu. Memang hebat la. Rupa-rupanya dia membawa air tin untuk dijual kepada kami. Tapi air tinnya tak laku, aksinya saja yang laku. Beberapa orang peserta memintanya mengulang kembali aksi lompat-melompat seperti tadi. Bot kami didatangi beberapa buah bot kecil yang daif yang membawa anak-anak kecil yang merayu-rayu meminta duit. Tapi ada sesuatu yang dibawa oleh mereka, ular! Eeee... Dengan selamba mereka melilitkan ular di leher mereka sebagai satu pertunjukan sambil merayu-rayu untuk diberikan duit. Satu lagi aksi yang meriuhkan keadaan & mencemaskan beberapa orang makcik yang gelikan ular. Sepanjang perjalanan, beberapa lagi buah bot yang membawa budak-budak kecil menghampiri kami dan melakukan perkara yang sama. Ada yang sempat bertenggek di tepi bot kami dan kemudian melompat kembali ke bot mereka selepas diberi duit. Begitulah cara mereka mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup di atas tasik yang cukup luas ini.

Tasik Tonle Sap yang sangat luas

Inilah aksi stuntwoman yang mahal itu!

Gadis kecil dengan ular meminta-minta duit

Banyak perkampungan terapung dapat dilihat sepanjang jelajah kami di Tonle Sap. Difahamkan ramai penduduk di situ adalah pendatang dari Vietnam. Kehidupan mereka sangat daif dan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan. Mereka masak, makan, tidur, sekolah di atas air dengan kemudahan yang tidak sempurna. Tak dapat dibayangkan kalau hidup seperti mereka di situ. Kami sempat singgah sebentar di sebuah kampung terapung untuk melihat buaya dan ikan patin. Tak putus-putus lensa menangkap gambar-gambar menarik sepanjang perjalanan menjelajah tasik Tonle Sap.

Menyusuri perkampungan terapung

Kami kembali ke jeti untuk menaiki bas balik ke hotel. Dalam perjalanan menaiki bas, budak-budak datang membawa souvenir yang telah ditampal dengan gambar kami untuk dijual. Rupa-rupanya sebelum naik bot tadi, mereka sudah siap menangkap gambar-gambar kami untuk dibuat souvenir. 5 dolar! 5 dolar! Mereka merayu supaya dibeli. Ramai juga yang beli selepas tawar menawar dengan mereka. Tapi saya tak beli pun. Hehe. Kami sempat singgah di sebuah perkampungan Islam berhampiran. Setibanya di situ, azan asar berkumandang dari sebuah surau terapung yang kecil. Kami singgah sebentar di surau untuk bertemu imam dan penduduk di situ. Sempat berbual-bual dan bertanya khabar serta mengalunkan selawat bersama-sama sebelum berpisah. Di akhir pertemuan, sedikit sumbangan dihulurkan untuk surau dan penduduk kampung tersebut. Terharu melihat kehidupan mereka yang serba kekurangan namun mereka teguh dengan akidah Islam.

Sebaik sahaja meninggalkan perkampungan itu, hujan turun dengan lebatnya. Kami terus balik ke hotel untuk berehat, solat dan makan. Malam itu, kami ke Siem Reap Night Market untuk sesi membeli belah yang pertama. Agak happening juga di situ kerana ramai pelancong yang datang dan banyak gerai yang menjual pelbagai barangan. Sempat juga menyambar beberapa souvenir untuk di bawa balik.

Selepa penat berjalan seharian sejak daripada awal pagi, kami kembali ke hotel untuk berehat. Bersambung untuk hari yang kedua. =)

2 ulasan:

Nursyahida berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
AieN_AtirA berkata...

hari ke 2 nye tak tiba2 ye tuan PTD?jenuh saya menunggu ni! :P