27 Julai 2011

Ramadhan Ya Ramadhan

InsyaAllah kita semua bakal melangkah ke bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan, bulan Ramadhan. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini yang terbaik untuk kita. Semoga kita dapat merebut segala keistimewaan dalam madrasah Ramadhan untuk menjadi hambaNya yang lebih dekat denganNya.

Alhamdulillah, Devotees telah merakamkan sebuah lagu khas untuk mengalu-alukan kedatangan bulan mulia ini bertajuk Rindu Ramadhan. Lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Abd Halim. Selamat mendengar dan menghayati lagu ini. Semoga bermanfaat dan memberi semangat untuk menyambut Ramadhan!






RINDU RAMADHAN

Yang tahu persiapkan diri
Yang rindu tak sabar menanti

Hadirnya setahun sekali

Keindahan yang tiada tara
Kemuliaannya tak habis dibicara
Penuh dengan limpahan maghfirah
Ya Ramadhan

Rindu...Aku rindu
Rindu pada kedatangan
Bulan yang padanya keberkatan (2x)

Ya Allah tolong sampaikan hajatku
Untuk berpanjangan
Nafasku hingga pengakhiran (2x)

Lirik/Lagu: Abd Halim Devotees


Terima kasih buat Hasbi Feelhoney yang memang kreatif menghasilkan video klip di atas. Share2 lah lagu ini dengan family dan kawan2 ye.


Oh ya, lagu ini juga boleh di download secara PERCUMA. Ya PERCUMA! Baik kan kitorang.hehe Klik saja link di bawah ni:


Download Rindu Ramadhan

Selamat beribadah di bulan Ramadhan!!

25 Julai 2011

Summer in Seoul Part IV

Hari Kelima [4 Julai 2011]


Alhamdulillah cuaca hari ini sangat baik seperti yang diramalkan. Destinasi hari ini semestinya lokasi yang terkenal dengan drama Winter Sonata, Nami Island! Perjalanan hari ini agak jauh sebab Nami Island bukan di dalam area Seoul, tapi terletak di Gyeonggi province. Dari Sinchon kami menaiki tren ke stesen Wangsimni, lepas tu tukar  Jungang line untuk ke stesen Mangu. Di stesen Mangu tukar lagi line Chuncheon untuk ke Gapyeong. Gapyeong ni adalah sebuah daerah countryside yang terkenal dengan keindahan semula jadi. Di area Gapyeong lah inilah Nami Island terletak. Perjalanan sepanjang ke Gapyeong dihiasi dengan pemandangan yang cukup indah. Bukit bukau yang menghijau & sungai yang mengalir tenang memberi santapan mata yang memukau pandangan, mengingati pada kekuasaanNya. 

Dalam tren ke Gapyeong

Tiba di stesen Gapyeong, kami menaiki bas untuk ke jeti Nami Island. Sampai di jeti, kami menaiki feri yang diberi nama Nami Maid. Perjalanan menaiki feri mengambil masa kurang dari 10 minit. Sampai di Nami Island bermula la pengembaraan menikmati keindahan alam yang menenangkan. Saya tak nak cerita panjang2, tengoklah gambar2 di bawah ye. 

 Nami Maid, feri ke Nami Island


 Tiket Nami Island, ada bendera Malaysia kat belakang tu

Dah sampai, Nami Island dikelilingi Sungai Han

Pokok daun merah di musim summer

 Nami mempunyai teres-teres pokok yang cantik tersusun

Tenangnya berehat di sini

Teduh

 Jambatan unik

Gambar-gambar Nami Island di pelbagai musim, I wish it's autumn

 Pokok-pokok condong meneduhi walkway

Hijau

Winter sonata statue

 Winter sonata gallery

 Winter sonata lagi

Teres pokok lagi 

Berbasikal keliling pulau, sejam rasa macam 10 minit je

Menghayati panorama Sungai Han

Lompatan gembira setelah habis keliling Nami Island

Seharian di Nami Island memang penat. Tapi sangat puas sebab dapat menikmati keindahan alam ciptaanNya. Mungkin suatu hari nanti akan kembali lagi ke sini, tapi pada musim autumn yang sangat indah insyaAllah. Sape nak ikut? hehe..

Petang itu kami terus balik ke guest house kerana seorang daripada kami akan balik ke Malaysia malam itu. Malam kami merayap ke Myeong Dong untuk sesi shopping yang terakhir. Sangat meriah dan happening kat situ. Kalau perempuan kaki shopping memang heaven. Macam-macam ada. Baju, kasut, gadget, kosmetik, makanan dan banyak lagi. Selesai shopping, terus balik untuk merehatkan diri. 

Hari terakhir di Seoul, kami sekadar berjalan-jalan di sekitar Sinchon. Sempat singgah di Yonsei University, merasai kehidupan kampus dan menikmati ice blended murah dan sedap. Singgah juga di Sigang University. Kawasan Sinchon saja ada 4 buah universiti. Universiti khas untuk wanita pun ada. 

 Yonsei University

Bangunan utama Yonsei University

Sekian saja catatan kembara Summer in Seoul. Satu kembara yang tak mungkin dilupakan. Satu kembara yang memberi pelbagai pengalaman. Satu kembara yang mencetus pelbagai inspirasi. Sehingga ke kembara yang seterusnya. Di mana? jeng jeng jeng. Nantikan.....



mmt: thanks semua yang sudi baca. sila lah melancong ke Korea, saya boleh jadi tourist guide hehe =)

20 Julai 2011

Summer in Seoul Part III


Hari Ketiga [2 Julai 2011]

Kira-kira jam 9 pagi kami memulakan perjalanan menaiki Seoul Metro. Destinasi pertama ialah Dongdaemun. Kawasan Dongdaemun terkenal dengan tempat-tempat membeli belah dan juga tapak-tapak bersejarah.  Sampai di situ kami memilih untuk bersiar-siar di Dongdaemun History and Culture Park terlebih dahulu. Cuaca hari itu agak mendung, lebih selesa untuk berjalan-jalan kerana tak terlalu panas. Dongdaemun History and Culture Park adalah sebuah taman moden di tengah-tengah metropolitan Seoul yang masih belum siap sepenuhnya. Bila siap sepenuhnya, ia akan menjadi mercu tanda terbaru Seoul yang akan menempatkan sebuah pusat rekabentuk tercanggih, muzium pameran arkeologi Seoul Seonggwak dan taman untuk orang ramai berehat dan beriadah. Rekabentuk taman ini memang futuristik dan moden tetapi masih mengekalkan keindahan unsur-unsur alam yang hijau. Cantik. Kami sempat masuk ke pameran arkeologi yang memaparkan tinggalan-tinggalan sejarah Seoul.

Dongdaemun History & Culture Park Map 

Haechi yang comel, maskot rasmi Seoul

Pokok dan rumput hijau di sekitar taman

Seterusnya kami ke sebuah shopping complex iaitu Doota tak jauh dari taman. Di situ ada 2 buah kedai yang menjual pelbagai souvenir Korea yang dikatakan paling murah di Seoul. Maka shopping spree pun bermula. Sempat la capai fridge magnet, pen, poskad dan baju untuk dibawa balik sebagai ole-ole. Kedai tersebut memang terkenal di kalangan pelancong Malaysia sampai makcik owner kedai tu pun dah pandai cakap melayu sikit-sikit. Dapatlah tawar-menawar. Jadi, kalau datang ke Seoul jangan lupa singgah kat kedai Arirang di tingkat 5 dalam Doota shopping complex. Berbaloi-baloi..
Seterusnya kami berjalan-jalan di sekitar Dongdaemun meninjau-ninjau tempat-tempat shopping di kawasan itu. Memang banyak tempat shopping. Menariknya, ada bangunan yang menjual barangan khas untuk wanita sahaja dan ada sebuah lagi yang sempat kami masuk semuanya untuk orang-orang yang berusia. Dalam bangunan tu semuanya pakcik2 dan makcik2. Ada lagi sebuah kompleks khas untuk barangan kulit sahaja. Macam-macam ada. Yang paling menarik, kat bawah tanah pun ada tempat shopping.

Arirang Shop @ Doota, tempat souvenir murah2

Berposing di sekitar Dongdaemun

Hari dah tengahari, perut pun dah berkeroncong. Kami ke Itaewon untuk solat di Seoul Central Mosque dan lunch. Di masjid kelihatan ramai warga Korea yang bukan Islam datang untuk melihat senibina Islam dan bertanya tentang Islam. Imam masjid sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka dan memberi penerangan kepada mereka. Ada juga sukarelawan berbangsa Arab yang fasih berbahasa Korea sedang memberi penerangan tentang masjid dan Islam kepada orang-orang Korea yang datang ke situ. Mudah-mudahan mereka diberi hidayah dan syiar Islam berkembang di Korea. Lepas solat jamak qasar, kami terus ke restoran Mr. Kebab untuk lunch. Kalau semalam dah cuba kebab ayam, hari ini try kebab kambing pula yang berharga W5000 atau RM15. Alhamdulillah sedap. Perut pun dah isi, tenaga pun dah bertambah.

Dalam Seoul Central Mosque

Kami teruskan perjalanan menaiki tren dari stesen Sindang ke Hoehyeon untuk ke Namdaemun, sebuah lagi kawasan membeli belah yang berkonsepkan pasar terbuka. Di situ macam-macam barang ada; baju, beg, kasut, makanan, aksesori dan banyak lagi. Dikatakan barang-barang di sini dijual dengan harga borong. Kawasan pasarnya memang luas. Pengunjung pula kebanyakannya orang-orang tua. Sempat juga membeli sehelai seluar Korea dan mencuba makanan diraja, Kkultarae yang dibuat daripada madu dan kacang.



Namdaemun Market Gate 4, banyak gate dia

 Suasana di Namdaemun market

Round2 Namdaemun

Habis menjelajah Namdaemun, kami menaiki bas ke Namsangol Hanok Village, sebuah perkampungan tradisi korea. Ada 5 buah rumah tradisi yang dipamerkan di sini yang dibina berkonsepkan Dinasti Joseon. Kawasannya dihiasi dengan taman Korea dan sebatang sungai kecil yang cantik. Di dalam rumah, pelancong boleh melihat perabot-perabot, alat-alat memasak, pasu-pasu yang digunakan di zaman dahulu. Kami sempat bermain satu permainan memasukkan batang kayu ke dalam sebuah alat besi yang mempunyai 3 lubang. Tapi tak masuk-masuk pun.

 Pintu gerbang Namsangol Hanok Village

Rumah tradisi Korea

Tak tau apa nama permainan ni

Next destination ialah Cheonggyecheon Stream, sebatang sungai di tengah-tengah Seoul yang menjadi tumpuan orang ramai di waktu malam. Sungai ini dulunya sangat tercemar, tetapi Berjaya ditransformkan menjadi sebatang sungai yang sangat cantik dan bersih. Airnya jernih dan dihiasi dengan pokok-pokok renek dan batu batuan. Sepanjang sungai ini ada 22 jambatan yang mempunyai keunikan tersendiri. Kami berehat-rehat sambil menikmati keindahan sungai di waktu malam. Tapi, sungai ini menjadi spot untuk berdating. Memang tersangat ramai couple di sepanjang sungai. Sabo je la.

Cheonggyecheon Stream di waktu malam

Cantik kan

Hampir tengah malam kami kembali ke Sinchon. Di stesen terlihat ramai orang-orang gelandangan yang homeless sedang tidur berlapikkan kotak. Kebanyakannya orang tua. Kesian.. Inilah realiti di sebalik metropolitan Seoul rupanya. Sampai guest house makan maggi terus tidur. Zzzz…

Homeless tidur di stesen metro

Hari Keempat [3 Julai 2011]

Hari ini seperti yang diramalkan hujan turun sepanjang hari. Maka mood untuk berjalan pun berkurangan ke tahap negatif. Tapi digagahkan juga untuk berjalan. Kalau tak jalan rugi masa pulak, bila lagi nak ke Seoul kan. Plan asal nak ke Nami Island, tapi apa boleh buat terpaksa tukar plan ad-hoc lain. Hari ni ke i-Park Mall di Yongsan, sebuah gedung barang-barang elektronik. Sekadar melihat-lihat saja. Masalah di Korea ni, kebanyakan barang tidak ditandakan dengan harga. Nak tanya serba salah. Tengok je la. Selepas pusing-pusing di Yongsan, kami ke Doota di Dongdaemun untuk top up lagi souvenir yang dah beli semalam. Semua rasa macam tak cukup je. Lepas beli souvenir, kami terpaksa berehat dalam Doota sebab kat luar hujan lebat.

Seoul kehujanan

Kami pulang awal ke guest house disebabkan cuaca yang tak mengizinkan. Malamnya hujan berhenti dan kami ke Yeuoido di tebing sungai Han untuk menikmati pemandangan di waktu malam. Tak ramai orang malam itu mungkin disebabkan cuaca. Paras air sungai pun meningkat dan sebahagian kecil taman di pinggir sungai ditenggelami air.
Selesai berjalan-jalan. Pulang untuk menyimpan tenaga untuk misi seterusnya, Nami Island. =)

12 Julai 2011

Summer in Seoul Part II

Hari Kedua [1 Julai 2011]


Bermula pengembaraan di Seoul, kota yang diidam-idamkan oleh para peminat K-Pop dan drama2 Korea. Tapi, saya bukanlah termasuk dalam golongan tersebut ye. Yang saya kenal hanyalah Rain (sebab ada iklan syampu) dan Siwon (sebab pernah tertengok cite dia berlakon).  Kalau lagu, tau lagu 'nobody' je sebab selalu keluar kat radio. Yang lain-lain i really have no idea on them. Oklah, straight to the point, kembara kami bermula dengan perjalanan menaiki tren Seoul Metro dari stesen Sinchon menuju ke stesen Euljiro samga. Destinasi yang ditujui ialah Changdeokgung Palace, sebuah istana lama di tengah-tengah metropolitan Seoul. 

Tempat menunggu tren

Sampai di stesen Euljiro samga, kami berjalan kaki kira-kira 400 meter untuk ke destinasi yang dituju. Setelah membeli tiket berharga W3000, kami terus masuk meneroka tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO itu. Pemandangan di sekitar kawasan istana lama itu memang cantik, dihiasi dengan pokok-pokok yang redup dan ditambah lagi dengan architecture yang unik dan artistik. Saya suka memerhati dan menghayati seni-seni lama yang ditonjolkan dalam setiap binaan dalam istana tersebut. Kalau nak tau, istana Changdeokgung ini dibina oleh Raja Taejong pada tahun 1405 dan siap pada 1412 ketika zaman Dinasti Joseon. Kawasan istana ini sangat luas, di dalamnya terdapat banyak bangunan, dataran dan beberapa taman. Bila melihat di sekeliling kawasan istana ni, terbayang macam mana raja dan pembesar-pembesar sedang berjalan di sekitar istana dengan diiringi pengawal-pengawal istana. Memang menarik. Sila klik gambar2 untuk besarkan ye.

Di hadapan pintu masuk Changdeokgung palace 

Tiket masuk

Cantik seni bina bumbungnya

Dewan utama istana. Di sini raja ditabalkan dan upacara-upacara penting dijalankan.

Ramai kanak-kanak sekolah Korea yang sedang membuat lawatan sambil belajar di situ. Cikgu-cikgu gigih memberi penerangan kepada murid-murid tentang sejarah istana barangkali. Seronok  tengok budak-budak tu, macam-macam gelagat. Setelah kepenatan menjelajah kawasan istana hinggalah ke kawasan rumah-rumah pekerja bawahan, kami berehat sebentar di kafe dan kedai souvenir istana. Memang berpeluh2. Cuaca musim summer di Korea lebih kurang saja dengan Malaysia. Kami beberapa kali membayangkan kalaulah percutian ini di musim autumn atau spring, pasti bahagia dengan baju yang tak berpeluh dan lesu yang lambat tiba. Takpelah, lain kali pegi musim autumn atau spring ye. hehe..


Salah satu bangunan dalam kawasan istana

Murid-murid sekolah

Destinasi seterusnya, ialah berjalan-jalan di sekitar kawasan Bukchon, sebuah kawasan penempatan yang mempunyai rumah-rumah dengan seni bina tradisi Korea. Tak jauh dari Changdeokgung, tapi lenguh juga kaki berjalan. Setelah merakam beberapa gambar, kami terus saja kembali ke stesen subway untuk ke stesen Itaewon. 

Bukchon Hanok Village

Hari ini hari Jumaat, jadi kami nak merasa bersolat jumaat di Korea. Hanya di Itaewon ada masjid iaitu Seoul Central Mosque. Sampai di stesen Itaewon, kelihatan ramai orang Pakistan, India, Arab dan Malaysia. Memang di kawasan tersebut ramai muslim imigran. Banyak kedai-kedai makan muslim di situ. Sampai di Seoul Central Mosque, jemaah sudah melimpah hingga ke kawasan parking. Bermacam-macam bangsa. Tapi kelihatan sedikit sahaja yang berwajah Korea. Khutbah disampaikan dalam bahasa Inggeris dan Korea. Selesai solat jemaah beratur untuk mendapatkan susu dan roti yang disediakan oleh pihak masjid. Kami melihat saja sebab barisan terlalu panjang. Tapi akhirnya dapat juga susu dan roti diberi oleh petugas muslimah. Ramai pelajar-pelajar Malaysia yang berkumpul di masjid tersebut, kebanyakannya mengambil kursus kejuruteraan di universiti-universiti sekitar Seoul. Dari masjid kami singgah di restoran turki  Mr. Kebab untuk lunch. Menu hari itu kebab ayam, harganya W4000 atau RM12. Alhamdulillah sedap dan mengenyangkan. Dapatlah menjana tenaga untuk menapak lebih jauh. 

Seoul Central Mosque


 Kedai buku islamik di Itaewon


Juadah tengahari

Dari Itaewon, kami terus ke Yongsan. Di kawasan Yongsan, terdapat Memorial Perang Korea yang merakamkan sejarah-sejarah perang yang melibatkan Korea. Memorial ini sangat luas dan di sekitarnya dibina tugu-tugu perang dan dipamerkan kapal-kapal, jet pejuang dan jentera-jentera perang yang pernah digunakan. Juga di bangunan utama memorial, dipahatkan nama-nama tentera yang telah terkorban ketika berperang. Dapatlah merasa naik kapal perang, pegang peluru berpandu dan tengok keadaan kereta kebal. Lepas letih berjalan kami sempat berehat untuk minum-minum dan makan bekalan yang dibawa untuk menjana tenaga. Lepas ni sambung berjalan lagi.


 Korean war memorial
 Kira macam tugu negara Korea la ni


Kapal dan kereta kebal yang digunakan ketika perang

Semangat kekoreaan

Hari makin petang, trafik kelihatan makin sesak. Ramai warga Seoul berpusu-pusu balik ke rumah. Dan kami masih bersemangat meneruskan perjalanan walaupun dah keletihan. Destinasi seterusnya ialah N Seoul Tower, menara tertinggi di Seoul dan tempat terbaik untuk melihat pemandangan kotaraya Seoul. Dari stesen Yongsan, kami terus ke stesen Myeong-Dong. Kami sempat bersiar-siar di Myeong-Dong sebelum ke N Soeul Tower. Myeong-Dong agak happening dengan street bazar dan kedai-kedai fesyen yang trendy. Macam-macam ada kat situ, kalau nak shopping boleh la datang ke sini. Hari tu, kami sekadar melihat-lihat saja sebab craving untuk bershopping belum datang lagi. Maklumlah baru 1st day. 


Myeong-Dong street

Kami meneruskan langkah dengan tabah dan gagah untuk ke N Seoul Tower dengan memanjat bukit Namsan. Pendakian di Namsan hill sememangnya membakar beribu kalori dan melonggarkan lutut. Kami mendaki baratus-ratus tangga lebih banyak dari Batu Caves untuk sampai ke N Seoul Tower. Letih wooo.. Basah baju berpeluh-peluh bila sampai di puncak bukit. Dapatlah membunuh lemak-lemak degil. hehe. Tiket untuk naik ke N Seoul Tower berharga W9000 atau RM27. Tapi kami dapat diskaun 10% sebab guna kupon pelancong yang diperolehi dari T-Money card. Dapatlah save sikit. 

Mukaddimah tangga ke N Seoul Tower

Selamat sampai di N Seoul Tower

Kat atas menara, boleh kirim poskad cinta di sini.hehe

Menikmati panorama malam kotaraya Seoul dari observation deck sedikit sebanyak menghilangkan rasa keletihan. Lampu-lampu bangunan mewarnai pemandangan malam seluruh Seoul yang mempunyai populasi 10 juta orang penduduk itu. Memang cantik. Kami berehat-rehat di atas menara menghilangkan penat sebelum turun untuk balik ke guest house.


Panorama malam metropolitan Seoul

Kami kembali ke guest house di Sinchon menaiki bas dan tren. Selesai kembara hari ini, lapar dan penat tapi puas. Maggi tomyam menjadi santapan yang sungguh menyelerakan. Selesai solat, kami tidur dengan nyenyak sekali walaupun tidak lama sebab subuh masuk pukul 3.20 pagi!