28 Oktober 2011

Bahagia dan Tenang

Kadang-kadang kita rasa down bila menghadapi sesuatu masalah. Ya, masalah itu lumrah dan akan sentiasa datang dan pergi. Habis satu masalah datang lagi masalah dan akan terus begitu hingga kita menutup mata. Itulah kehidupan di dunia. Namun kita amat mengharapkan agar kehidupan di sana tidak 'bermasalah', insyaAllah dengan usaha dan doa dari kudrat hamba yang amat dhaif lagi kerdil. 

Saya sering membuka video di bawah untuk menyuntik ketenangan pada setiap pagi sebelum memulakan kerja. Lepas menonton dan mendengarnya, hati lebih lapang dan tenang. Pudar sedikit rasa-rasa gusar dan kecewa (jika ada). Kerana benarlah, kita manusia sering tersalah sangka tentang erti tenang dan bahagia yang sebenar. Memandang benda-benda duniawi sebagai ukuran kebahagiaan. Namun yang hakiki bahagia itu ada pada jiwa yang dekat pada DIA Al-Mutakabbir (Maha Megah, Yang Memiliki Kebesaran).



Dan dalam kalamNya, sudah jelas termaktub bagaimana ketenangan yang hakiki itu diperolehi.



Semoga tenang dan bahagia selalu!



mmt: salam Zulhijjah!



26 Oktober 2011

C.I.N.T.A


Cuba kau selami erti cinta
Indah bila hadirnya mengulit jiwa
Nadi yang berdenyut terasa kehangatannya
Tak terhenti walau sedetik cuma
AnugerahNya yang nian bermakna

Cinta itu amat tulus nan suci
Impian fitrah pada tiap nurani
Nafsu nafsi bukan matlamat dicari
Tetapi hanya redha Rabbul Izzati
Allah Yang Maha Mengasihani

Ceritalah kepada mereka
Impian cinta adalah bahagia
Namun bukan sekadar mainan bicara
Tapi harapan yang lahir dari lubuk jiwa
Amanah dalam melayari bahtera


Cinta yang kukuh terpateri
Ibarat lagu dan melodi
Natijahnya tercipta bahagia yang diimpi
Teguh istana kasih sejati
Azimat menuju syurgaNya yang abadi




mmt: Sekadar nukilan di petang yang terluang, bukan jiwang. ;)




14 Oktober 2011

Motivasi Daripada Al-Quran: Syukur

Ketika kita baik mahupun ketika kita jahat, ketika kita ingat mahupun ketika kita lalai, ketika kita kuat mahupun ketika kita lemah, nikmat daripada Allah SWT tak pernah putus. Subhanallah... Maha Pemurahnya Dia kepada kita. Mampukah kita mengira berapa liter oksigen kah yang sudah kita hirup selama ini? Mampukah kita menghitung berapa butir beras yang sudah kita makan selama ini? Itu secebis kecil daripada nikmatNya cuma. Soalan itu terjawab dalam kalamNya ini.


klik untuk besarkan

Lalu, masih lekakah kita yang daif ini pada nikmatNya yang infiniti banyaknya itu? Syukur atau kufur dua jalan pilihan yang terletak di tangan kita. Lantas jalan manakah yang kita turuti? Ada janjiNya buat dua jalan itu dalam kalamNya ini.


klik untuk besarkan

Agar lurus hati ini, jua agar tak goyah iman ini dalam mensyukuri kurnia nikmatNya yang tak berhenti dan tak bertepi. Munajat ini terkandung dalam kalamNya buat pedoman diri untuk bermohon kepada Dia yang Maha Mendengar. Moga-moga menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur!

klik untuk besarkan

Semoga bermotivasi dan selamat bermuhasabah!




mmt: syukur bukan sekadar ucapan. peringatan buat diri yang selalu terlupa dan buat2 lupa. :) psst.. sekarang dah boleh like & share kat facebook entry2 kat blog ni. 



11 Oktober 2011

Motivasi Daripada Al-Quran: Ujian

Dalam kehidupan ini, kita sering inginkan motivasi untuk menaikkan semangat diri, motivasi untuk mengubati kekecewaan, motivasi untuk memantapkan usaha, motivasi untuk berjaya dan lain-lain tujuan yang membawa kebaikan. Pelbagai cara dilakukan untuk mendapat motivasi, membaca buku-buku motivasi best-seller, hadir ke program-program bina diri, berjumpa dengan motivator-motivator yang hebat dan banyak lagi. Namun, kadang-kadang kita terlupa (manusia itu memang pelupa) bahawa Allah SWT adalah motivator kita yang terhebat! 

Termaktub dalam kalamNya di dalam Al-Quran begitu banyak sekali ayat yang memberi motivasi dan inspirasi kepada kita dalam mengharungi perjalanan hidup ini. Jom sama-sama kita meneliti tiap-tiap helaian Al-Quran dan merenungi terjemahannya untuk kita peroleh motivasi di kala senang mahupun sukar. InsyaAllah saya nak berkongsi dengan sahabat-sahabat semua Motivasi Daripada Al-Quran (MDQ) yang memaparkan ayat-ayat daripada Al-Quran yang jelas maksudnya dan terkandung motivasi untuk peringatan buat diri saya sendiri dan sahabat-sahabat semua. Untuk tafsiran lanjut bolehlah kita membaca kitab-kitab tafsir atau bertemu dengan mereka yang 'alim dalam bidang tafsir.

Sebagai pembukaan MDQ, mari kita renungi dua ayat di bawah ini. Semoga kita tak mudah rasa kecewa bila ditimpa musibah atau ujian yang berat untuk kita hadapi. Yakinlah bahawa Allah menguji kita semata-semata kerana kasihNya kepada kita yang memegang nikmat IMAN yang tak ternilai harganya.

 klik untuk besarkan

Dan Allah tidak sekali-kali menurunkan dugaan yang tidak termampu kita memikulnya. Percayalah seberat mana musibah yang kita hadapi, kita mampu untuk menempuhinya dengan bantuan dan rahmat daripadaNya.

  klik untuk besarkan

Allah menyambung lagi ayat 286 Surah Al-Baqarah di atas dengan doa yang sangat bermakna agar kita sentiasa bermohon dan berserah kepadaNya yang Maha Pengasih.

klik untuk besarkan

Semoga bermotivasi & selamat bermuhasabah!




mmt: Silakan share untuk kebaikan dan peringatan bersama insyaAllah. 
           (Tapi jangan lupa kredit untuk blog ni) :)